USM ZAHIRKAN PENGHARGAAN BUAT ASHRI, PUJI SIKAP MULIA

20220601 01

USM PULAU PINANG, 1 Jun 2022 – Berkesempatan bersua muka dengan penunggang motosikal yang menjadi ‘penyelamat’ graduan yang panik hendak ke majlis konvokesyen, pihak Universiti Sains Malaysia (USM) tidak melepaskan peluang menzahirkan penghargaan buat Ashri Haya.

Ashri, 50, dijemput khas ke Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 USM dan berkesempatan beramah-mesra dengan pengurusan tertinggi Universiti.

Ashri yang juga kontraktor perkhidmatan pencucian berkata, beliau amat terharu dengan penghargaan yang diberikan dan langsung tidak menyangka bantuan yang dianggapnya kecil itu membawa makna yang cukup besar buat ramai pihak.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan ke tempat kerja. Kebetulan saya memang menyelia kerja-kerja pencucian di USM. Saya nampak graduan berkenaan terdesak mendapatkan pertolongan kerana beliau tidak henti-henti menahan penunggang motosikal.

“Disebabkan saya nampak jubah yang dipegangnya sama seperti jubah konvokesyen USM, saya sanggup tumpangkan beliau kerana simpati dan faham keadaannya yang sedang panik,” katanya.

20220601 02

Tambah beliau, kesesakan jalan pada ketika itu agak buruk dan beliau sempat melihat ada di antara pengguna Jambatan Pulau Pinang terpaksa bersarapan dalam kereta, keluar dari kenderaan mengambil angin dan sebagainya.

Ashri turut tidak menyangka kisahnya menjadi tular kerana terus menyambung kerja hariannya seperti biasa selepas menumpangkan graduan berkenaan, sehinggalah keesokan harinya rakan di tempat kerjanya menunjukkan berita berkaitan dirinya mendapat liputan meluas media.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan pula berkata, USM menghargai jasa baik Ashri dalam membantu graduan USM dan menyifatkan nilai murni itu perlu ada dalam setiap individu.

20220601 03

Katanya, walaupun pertolongannya nampak kecil namun kesanggupan Ashri menghulur bantuan di saat insan lain sangat memerlukan perlu dijadikan contoh oleh semua pihak.

Pendaftar USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Upacara Konvokesyen Ke-59 USM, Dato’ Dr. Musa Ali turut merakamkan penghargaan kepada beliau dan menyifatkan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ahsri turut memberi kesan kepada sebilangan besar masyarakat.

Kisah Ashri dan graduan berkenaan, Kevin a/l Rayappan, 28, menjadi tular setelah Kevin dilihat sedang memegang jubah konvokesyen USM di atas jambatan sambil mencuba nasib menahan penunggang-penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau.

Ketika kejadian, kesesakan teruk di Jambatan Pulau Pinang ekoran kemalangan maut yang berlaku pada awal pagi berkenaan.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa

    Pautan Pantas

    Hubungi Kami

    Jabatan Pendaftar
    Aras 5,
    Bangunan Canselori,
    Universiti Sains Malaysia,11800 USM,Pulau Pinang

    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
    Tel : 6046533888 ext. 3111/2416/2403
    Fax : 604-6581718  |  

    Pejabat Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Akademik
    dan Bahagian Pengurusan Maklumat & ICT

    Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia,11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

    Tel: 046533888 ext. 3111/2416/2403 | Fax: 04-6581718

    • Last Modified: Tuesday 12 November 2024.