• Home
  • Berita & Hebahan
  • Berita & Informasi
  • USM MENYOKONG SARANAN KERAJAAN MENJADIKAN BATIK PAKAIAN PEGAWAI AWAM

USM MENYOKONG SARANAN KERAJAAN MENJADIKAN BATIK PAKAIAN PEGAWAI AWAM

USM PULAU PINANG, 15 September 2023 – Menjelang tibanya Hari Malaysia pada 16 September ini, yang telah didahului dengan sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun pada 31 Ogos, pelbagai usaha terus dilakukan bagi menerapkan rasa cintakan negara di hati setiap warganya.
 
Universiti Sains Malaysia (USM) juga tidak ketinggalan dalam memupuk rasa bangga terhadap negara ini. Salah satunya adalah dengan menyahut dan menyokong saranan pihak Kerajaan dalam melaksanakan pemakaian baju batik beridentitikan Malaysia pada setiap hari Khamis oleh pegawai kerajaan.
 
Merujuk kepada edaran yang diberikan, semua pegawai perkhidmatan awam persekutuan diwajibkan memakai baju batik pada hari Khamis, serta digalakkkan juga memakainya pada hari-hari bekerja lain juga.
 
Oleh itu, beberapa pandangan telah diminta dari staf USM di kampus induk tentang saranan Kerajaan untuk melaksanakan pemakaian baju batik ini.
 
Berikut dikongsikan beberapa pandangan tersebut:
 
20230915 01 vc
 
Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
 
“Saya bersetuju dan menyokong penuh saranan pemakaian baju batik Malaysia. Ini adalah kerana ianya diperbuat dari bahan yang sesuai dipakai di mana jua. Ia sesuai dipakai di dalam ruang pejabat dan bilik mesyuarat yang berhawa dingin, dan tidak perlukan penggunaan tenaga berlebihan untuk alat hawa dingin, sesuai dengan kelestarian alam sekitar. Ia juga sesuai untuk dipakai dengan keadaan cuaca di luar; Sebagai sebahagian produk seni tempatan yang mempunyai pelbagai corak menarik, batik Malaysia juga boleh dipromosi kepada ramai pihak, dan dapat membantu meningkatkan pendapatan pengusaha batik apabila lebih ramai yang akan membelinya.”
 
20230915 02 tnc
 
Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)
 
“Jika dilihat dari segi untuk memastikan kelestarian kebudayaan Malaysia, kita seharusnya menyambut baik usaha ini. Dengan itu, pada setiap minggu kita akan lihat kesenian budaya Melayu tidak dilupakan. Siapa lagi yang mahu memastikan kebudayaan ini tidak lupakan jika bukan kita? Keunikan dan keindahan seni itu sendiri kita tidak agungkan dan kalau kita tidak terus memakai, maknanya ianya akan dilupakan.”
 
20230915 03 DM
 
Dato' Dr. Musa Ali, Pendaftar Universiti Sains Malaysia
 
“Saranan Kerajaan berkaitan pemakaian batik Malaysia ini mempunyai dua objektif; yang tersurat dan tersirat. Yang tersurat adalah bagi menonjolkan identiti dalam kalangan staf perkhidmatan awam, yang mana ia bukanlah sesuatu yang asing. Ada negara lain juga yang melaksanakan pemakaian pakaian tradisional pada hari tertentu dengan maksud yang sama. Makna yang tersirat pula adalah, ia bertujuan untuk menggalakkan perkembangan industri batik tempatan. Pengiktirafan dapat diberikan kepada pengusaha industri batik sebagai pengusaha industri kecil dan sederhana (SME). Selain mematuhi pekeliling Kerajaan, ia juga dapat menggalakkan industri batik tempatan agar dapat terus membangun demi memastikan kelestariannya.”
 
20230915 04 Dato aileen
 
Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai, Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS)
 
“Batik adalah antara warisan tradisi tertua di Malaysia, yang telah kekal hingga ke hari ini. Batik sesuai dipakai bagi tujuan rasmi ataupun dalam suasana santai, dengan kepelbagaian corak yang dihasilkan dengan tangan! Ia adalah salah satu simbol negara yang bermakna, kerana ia mencerminkan identiti dan tradisi kita, menyerlahkan kepercayaan dan cara hidup kita melalui hasil seni yang dipakai sepanjang hari, bukan sekadar digantung sebagai pameran. Ia boleh dipakai oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama atau budaya, dan ia melambangkan penyatuan kita sebagai sebuah negara berbilang bangsa. Secara ringkasnya, batik boleh dilihat sebagai simbol mewakili Malaysia, unik dan menarik! I secara peribadi amat menggemari batik dengan pelbagai rekaan dan corak yang mampu ‘membangkitkan’ kecantikan dalaman dan kehalusan budaya dan warisan kita.”
   
20230915 05 siva
 
Profesor Dato' Sivamurugan Pandian, pensyarah dan Pengarah Pusat Pengurusan Bencana
 
"Pemakaian batik adalah usaha mengembalikan warisan budaya tempatan, agar ia terus mengikat kesinambungan pembudayaan pakaian dalam bingkai kesatuan kepelbagaian amalan di negara ini. Negara yang tradisinya sering dirujuk kepada budaya anekaragam, majmuk, berbilang bangsa, etnik dan ras serta agama membawa kepada persamaan melalui gaya hidup pemakaian batik agar ia kekal menjadi bucu penggabungan bersama."
 
20230915 06 khairul
 
Khairul Syahmi Brahim, Pegawai Tadbir Pusat Inovasi dan Perundingan (CIC)
 
“Pemakaian sesuatu yang ringkas untuk ke pejabat akan mempunyai kesan positif ke atas produktiviti. Apabila setiap pekerja dibenarkan memakai pakaian yang selesa dan memberi keyakinan, ia akan meningkatkan semangat bekerja dan produktiviti secara keseluruhannya.
 
Fabrik yang digunakan bagi pakaian batik mampu memberi keselesaan kepada pemakai di dalam ruang pejabat dan seterusnya mengurangkan penggunaan alat penghawa dingin secara berlebihan. Seterusnya, dengan menggalakkan para pekerja memakai batik ke pejabat, ini akan memberi ruang untuk menyokong pengeluar batik tempatan, yang berpotensi meningkatkan jualan dan kelestariannya. Tambahan lagi, batik juga memberi ruang berekspresi secara positif. Dengan pelbagai pilihan warna, corak, dan latarbelakang warisan yang boleh dipilih, batik menawarkan pelbagai peluang untuk mengembangkan kreativiti dan keunikan identiti.”
 
20230915 07 sadrina
 
Nur Sadrina Abdul Rahim, Pembantu Setiausaha Pusat Pengajian Sains Fizik
 
“Selain menyahut seruan USM dan kerajaan Malaysia, pemakaian batik Malaysia dapat memartabatkan batik Malaysia di mata dunia; inisiatif ini juga sekaligus dapat memperkasa industri kraf batik negara dan memberi manfaat kepada semua pihak.”
   
20230915 08 nurul
 
Nurul Huda Abdullah, Pembantu Tadbir Perkeranian Operasi PTJ, Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC)
 
“Pada pandangan saya, pemakaian baju batik Malaysia bagi penjawat awam pada setiap hari Khamis amat digalakkan. Baju batik sangat selesa untuk dipakai kerana ia diperbuat menggunakan kain yang sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini. Bukan hanya selesa, ia juga mampu menceriakan suasana pejabat dengan coraknya yang terang dan menarik.
 
Apa yang lebih menarik baju batik ini tampak eksklusif kerana mempunyai pelbagai motif seperti flora, fauna, geometri, abstrak dan lain-lain. Pengguna juga mempunyai banyak pilihan baik dari segi harga dan kualiti.”
   
20230915 10 hafiz
 
Hafiz Meah Ghouse Meah, Pegawai Tadbir, Pusat Pembangunan Bakat, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) bersama Mohamad Abdullah, mantan KetuaTimbalan Pendaftar Kanan USM
 
"Selaku penjawat awam, sudah menjadi satu aspirasi untuk memperkasakan inisiatif yang diterapkan oleh kerajaan yang memimpin. Contohnya, pemakaian baju batik Malaysia ini dapat memupuk budaya disiplin yang utuh untuk penjawat awam dalam menjana nilai integriti yang tinggi serta menyahut pendekatan tonggak Malaysia Madani yang menjadi elemen kemakmuran negara di samping mewujudkan satu penjenamaan yang mampan untuk negara tercinta."
 
Sumber : www.usm.my

    Pautan Pantas

    Hubungi Kami

    Jabatan Pendaftar
    Aras 5,
    Bangunan Canselori,
    Universiti Sains Malaysia,11800 USM,Pulau Pinang

    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
    Tel : 6046533888 ext. 3111/2416/2403
    Fax : 604-6581718  |  

    Pejabat Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Akademik
    dan Bahagian Pengurusan Maklumat & ICT

    Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia,11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

    Tel: 046533888 ext. 3111/2416/2403 | Fax: 04-6581718

    • Last Modified: Tuesday 12 November 2024.