• Home
  • Berita & Hebahan
  • Berita & Informasi
  • DARIPADA PENGIKTIRAFAN KEPADA TANGGUNGJAWAB : 62 STAF P&P TERIMA KENAIKAN PANGKAT SECARA ‘ONE-OFF’

DARIPADA PENGIKTIRAFAN KEPADA TANGGUNGJAWAB : 62 STAF P&P TERIMA KENAIKAN PANGKAT SECARA ‘ONE-OFF’

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Julai 2026 – Seramai 62 orang staf kategori Pengurusan dan Profesional (P&P) bukan akademik di Kampus Kesihatan dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) daripada pelbagai skim perkhidmatan menerima surat kenaikan pangkat secara ‘one-off’ dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Bilik Persidangan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), hari ini.

Kenaikan pangkat tersebut adalah selaras dengan eksesais penambahbaikan perkhidmatan yang diumumkan oleh Kerajaan Malaysia menerusi pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang bertujuan memperkukuh pembangunan kerjaya penjawat awam serta meningkatkan motivasi dan produktiviti dalam penyampaian perkhidmatan.

Kenaikan pangkat ini melibatkan pelbagai skim perkhidmatan bukan akademik yang memainkan peranan penting dalam menyokong operasi pentadbiran, pengurusan dan penyampaian perkhidmatan di Kampus Kesihatan dan HPUSM.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, pengiktirafan yang diterima bukan sekadar satu penghormatan, malah merupakan amanah yang lebih besar untuk dipikul oleh setiap penerima.

“Setiap kenaikan pangkat hadir bersama tanggungjawab yang lebih besar. Justeru, saya berharap semua penerima akan terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dengan lebih efektif, berkualiti dan profesional demi memenuhi ekspektasi pengurusan serta pihak berkepentingan.

"USM sentiasa berusaha memastikan setiap warga yang layak menerima hak mereka selaras dengan syarat dan ketetapan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.

Menurut Abdul Rahman, USM merupakan antara universiti terawal melaksanakan kenaikan pangkat secara 'one-off', manakala beberapa universiti awam lain masih dalam proses pelaksanaannya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan proses kenaikan pangkat tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berharap pengiktirafan yang diberikan menjadi pemangkin kepada semua penerima untuk terus meningkatkan prestasi dan memberikan perkhidmatan terbaik.

"Bila bekerja, bekerjalah bersungguh-sungguh. Jadikan kenaikan pangkat ini sebagai amanah untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan profesionalisme," ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru agar seluruh warga kerja USM terus mengekalkan budaya kerja berprestasi tinggi, mengamalkan nilai integriti serta sentiasa mengutamakan kecemerlangan dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan bagi memperkukuh reputasi universiti sebagai institusi pengajian tinggi yang unggul.

Majlis tersebut mencerminkan komitmen USM dalam menghargai sumbangan warga kerjanya di samping menyokong aspirasi Kerajaan Malaysia untuk memperkasakan perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berimpak tinggi.

Teks : Norheliza Mukram @ Sulaiman dan Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

Sumber Asal : Berita Kampus Kesihatan

    Pautan Pantas

    Hubungi Kami

    Jabatan Pendaftar
    Aras 5,
    Bangunan Canselori,
    Universiti Sains Malaysia,11800 USM,Pulau Pinang

    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
    Tel : 6046533888 ext. 3111/2416/2403
    Fax : 604-6581718  |  

    Pejabat Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Akademik
    dan Bahagian Pengurusan Maklumat & ICT

    Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia,11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

    Tel: 046533888 ext. 3111/2416/2403 | Fax: 04-6581718

    • Last Modified: Tuesday 28 July 2026.