TERIMA KASIH USM! KIT ASAS PERCUMA, PENGANGKUTAN PERCUMA DAN KENDURI SISWA SAMBUT PELAJAR BAHARU USM
USM PULAU PINANG, 8 Oktober 2022 – Inisiatif Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menzahirkan keprihatinannya kepada kebajikan pelajar mendapat reaksi cukup baik khususnya bagi mereka yang amat memerlukan sokongan dan bantuan untuk meneruskan cita-cita ke menara ilmu.
USM yang kembali menerima kemasukan pelajar baharu bagi sidang akademik 2022/2023 secara bersemuka pada tahun ini mengambil beberapa inisiatif dalam memberikan perkhidmatan kebajikan yang ‘mesra pelajar’.
Muhammad Syahrul Nizam Rezali, 20, anak kepada petani kelahiran Kuala Nerus, Terengganu berkata, beliau amat bersyukur kerana dapat hadir mendaftarkan diri bagi mengikuti pengajian dalam bidang Sastera di kampus induk USM.
“Pada mulanya saya cukup bimbang dan asyik memikirkan macam mana saya hendak pergi ke Pulau Pinang. Ayah saya telah uzur dan beliau tidak berupaya memandu dengan jarak yang jauh. Tambahan pula matanya juga rabun.
“Namun saya bersyukur kerana terbaca hebahan mengenai perkhidmatan pengangkutan percuma yang ditawarkan USM khusus buat pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan. Saya benar-benar berterima kasih kepada USM atas keprihatinan mereka,” ujar beliau.
Selain itu, turut mendapatkan perkhidmatan yang sama, Muhammad Hamizan Che Hasim, 20, pula berkata, beliau tidak menyangka rezekinya untuk menyambung pengajian dipermudahkan dengan pelbagai bantuan dari USM.
Beliau yang berasal dari Tumpat, Kelantan tidak mempunyai kenderaan dan sememangnya bergantung harap kepada kenderaan awam semata-mata untuk bergerak.
“Ibu bapa saya juga sangat terharu dengan inisiatif kebajikan USM dan mereka gembira dapat melihat saya pergi menuntut ilmu dalam keadaan yang cukup selesa, termasuk dibekalkan dengan keperluan asas seperti bantal, selimut, cadar, baldi, selipar dan sebagainya,” ujar anak sulung daripada empat beradik itu.
Selainnya, seorang lagi pelajar, Wan Zainal Abidin Wan Abdullah, 20, dari Besut, Terengganu juga menyuarakan rasa teruja dan berterima kasih atas keprihatinan dan layanan yang cukup baik dari warga USM.
“Sepanjang perjalanan dari Pantai Timur ke Pulau Pinang memang sangat selesa. Kami bukan sekadar diberikan pengangkutan percuma, malah makan juga disediakan. Saya bersyukur kerana bantuan yang dihulur benar-benar meringankan bebanan kami,” katanya.
Ketiga-tiga pelajar yang juga pertama kali menjejakkan kaki ke Pulau Pinang ditemubual ketika menghadirkan diri ke Sesi Pendaftaran Pelajar Baharu USM bagi Sidang Akademik 2022/2023 yang julung kali diadakan secara bersemuka selepas dua tahun negara dilanda pandemik.
Hadir sama meraikan pelajar-pelajar baharu itu ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa yang turut menjalankan fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; TNC Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman dan Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, Ramli Osman.
Dalam pada itu, Narimah berkata, USM dalam usahanya untuk memperkasa kelestarian pendidikan sentiasa mempertimbangkan amalan terbaik bagi memastikan semua pelajar menerima pengajaran yang berkualiti di samping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan.
Katanya, bagi kemasukan sidang akademik 2022/2023, USM memperkenalkan beberapa inisiatif untuk memperkasa pelajar kurang berkemampuan, antaranya menyediakan pengangkutan percuma dari pantai timur untuk ke kampus induk di Pulau Pinang.
“Perkhidmatan berkenaan terbuka kepada semua pelajar kategori B40 yang tidak mempunyai kenderaan sendiri dan berkeperluan khas sahaja,” ujar beliau.
Selain itu, turut disediakan adalah Kit Keperluan Asas untuk pelajar B40 kelompok B1 (Pendapatan keluarga RM1,000 ke bawah) yang disediakan melalui pembiayaan dana terkumpul sebanyak RM40,000, hasil sumbangan bersama Pejabat Naib Canselor, Jabatan Pendaftar, Pusat Islam, penaja-penaja Luar, NGO dan sumbangan peribadi.
Selain itu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni bersama-sama Pusat Islam bekerjasama dalam menjayakan Kenduri Siswa: Makan Tengah hari dengan menumbangkan dua ekor lembu bagi meraikan kedatangan semua siswa.
Antara menu yang disediakan untuk hidangan dengan kapasiti juadah untuk 3,500 tetamu itu adalah nasi minyak, gulai daging ubi, dalca dan buah-buahan.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa