Selaras dengan saranan Pendaftar yang menekankan keperluan pendekatan proaktif, inklusif dan menyeluruh dalam memperkukuh kesejahteraan staf, Bahagian Sumber Manusia (BSM), Jabatan Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Unit Perhubungan dan Kesejahteraan Staf (UPKS) telah menganjurkan Program Singgah Santai Kesejahteraan Staf Siri 1 di Jabatan Keselamatan. Program ini merupakan inisiatif jangkauan (outreach) yang pertama dan akan dilaksanakan secara berperingkat di Pusat Tanggungjawab (PTJ) lain.
Program ini dikendalikan oleh empat (4) orang Pegawai Psikologi bersama staf UPKS dengan kerjasama Pusat Sejahtera USM. Pelaksanaannya bertujuan untuk mempromosikan perkhidmatan kaunseling staf serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental dalam kalangan warga universiti.
Walaupun berhadapan dengan kekangan tugas hakiki, kehadiran staf Jabatan Keselamatan adalah amat menggalakkan, sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian. Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak pengurusan, termasuk kehadiran Pengarah Jabatan Keselamatan, Encik Prabu a/l Mogan .
Pelbagai pengisian santai dan interaktif telah dilaksanakan, antaranya perkongsian berkaitan perkhidmatan kaunseling staf dan kesedaran kesihatan mental. Selain itu, elemen pengetahuan umum turut diterapkan melalui kuiz interaktif menggunakan platform Kahoot dan Mentimeter. Program ini juga merangkumi saringan awal kesejahteraan mental melalui ujian Depression, Anxiety and Stress Scale (DASS) , serta diakhiri dengan perkongsian teknik-teknik berkesan dalam menangani tekanan.
Sebagai nilai tambah, program ini turut menyediakan kaunter pemeriksaan tekanan darah yang dikendalikan oleh Pusat Sejahtera USM bagi menyokong aspek kesejahteraan fizikal staf.
Penganjuran program ini diharapkan dapat terus memperkukuh kesejahteraan mental dan fizikal warga USM secara menyeluruh dan berterusan.
Sumber : FB Bahagian Sumber Manusia USM, Perkhidmatan Perundingan & Kaunseling Staf USM & Jabatan Keselamatan USM
Pautan Pantas
Hubungi Kami
Pejabat Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Akademik
dan Bahagian Pengurusan Maklumat & ICT
Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia,11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Tel: 046533888 ext. 3111/2416/2403 | Fax: 04-6581718