• Home
  • Berita & Hebahan
  • Berita & Informasi
  • SIDANG PERTAMA KONVOKESYEN KE-61 USM: DUA PROFESOR EMERITUS DAN SEORANG PENERIMA PINGAT EMAS CANSELOR DIRAIKAN

SIDANG PERTAMA KONVOKESYEN KE-61 USM: DUA PROFESOR EMERITUS DAN SEORANG PENERIMA PINGAT EMAS CANSELOR DIRAIKAN

USM PULAU PINANG, 21 November 2023 - Hari ini telah bermula secara rasminya Upacara Konvokesyen ke-61 Universiti Sains Malaysia (USM) dengan pembukaan Sidang Pertama yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. Jegathesan Manikavasagam di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM.
 
20231122 01
 
Sidang Pertama menyaksikan penganugerahan dua tokoh akademia USM dengan gelaran Profesor Emeritus yang telah banyak berjasa kepada universiti dan negara yang mana kedua-dua menghabiskan hampir seluruh usia kerjaya mereka dengan mencurah khidmat bakti kepada USM.
 
Mereka yang diraikan dengan gelaran Profesor Emeritus adalah Profesor Emeritus Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar dan Profesor Emeritus Dr. Mohd Sakri@Shukri Salleh.
 
20231122 0220231122 03
 
 
Salleh Yaapar merupakan seorang tokoh akademik yang telah banyak menyumbang dalam bidang Kesusasteraan Bandingan dan Teori dan Kaedah Sastera.
 
Segala usaha beliau membuktikan betapa perlunya kajian kesusasteraan difahami dalam membentuk pemikiran setiap individu dan ketamadunan sesebuah negara.
 
Sementara itu, Mohd Sakri@Shukri Salleh adalah seorang tokoh akademik yang telah banyak berkongsi kepakaran dalam bidang pembangunan luar bandar dan lebih utama lagi, bidang pengurusan dan pembangunan berteraskan Islam.
 
Tumpuan beliau bukan hanya sekadar apa yang terhasil di atas kertas kajian atau penyelidikan, tetapi kekuatan yang dapat dibentuk dari pendidikan berasaskan Islam, yang mana beliau juga adalah pengasas kepada pusat kecemerlangan pendidikan, iaitu Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam atau ISDEV di USM.
 
Turut diraikan pada Sidang Pertama adalah Penerima Pingat Emas Canselor, Muhamad Hafizi Mohd Hanafi, graduan Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.
 
20231122 04
 
Muhamad Hafizi Hanafi merupakan pelajar cemerlang yang bukan hanya di dalam bidang pengajiannya, tetapi juga di dalam penglibatannya sebagai pendebat.
 
Beliau kerap mewakili universiti di dalam pelbagai pertandingan debat di peringkat nasional, yang mana USM muncul sebagai johan dan beliau sebagai pendebat terbaik.
 
Melalui kejayaan-kejayaan tersebut, Jegathesan menyeru agar ilmu pengetahuan yang dikuasai pada peringkat mana sekali pun mestilah mampu memberi kebaikan kepada orang lain.
 
“Sebagai orang yang berilmu, kita juga perlu menjadi contoh teladan yang baik, sentiasa ber-akhlak dan berhemah. Ikutlah resmi padi “makin tunduk, makin berisi.” Pimpin dan berbakti-lah kepada masyarakat dengan ilmu yang ada, dengan penuh integriti dan akauntabiliti,” serunya.
 
Seramai 8,166 graduan bakal menerima skrol masing-masing sepanjang konvokesyen USM kali ini dalam tiga belas sidang.
 
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika berucap turut menzahirkan tahniah kepada semua penerima selain turut berkata pelbagai perubahan telah berlaku dan banyak audit penilaian dibuat secara berterusan untuk kita semua melihat pencapaian USM dan bagaimana pada akhirnya kita menyumbangkan kepakaran ilmu yang ada untuk pembangunan masyarakat dan Malaysia MADANI.
 
20231122 05
 
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada kedua-dua penerima-penerima anugerah Profesor Emeritus serta Penerima Pingat Emas Canselor. Kami di USM amat berbangga dan menghargai segala usaha yang telah disumbangkan,” kata Abdul Rahman.
 
Tambahnya, dengan kejayaan yang dikecapi, pihak universiti berharap agar sebagai penerima gelaran Profesor Emeritus, mereka dapat menjadi ilmuwan secara berterusan untuk membantu universiti, walaupun sudah bersara dari perkhidmatan kepada Universiti.
 
Pada akhir ucapannya, beliau turut berpesan kepada penerima Pingat Emas Canselor bahawa setiap usaha membangunkan diri sendiri ke arah kecemerlangan iaitu dengan kaedah pembelajaran sepanjang hayat.
 
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Pasukan Fotografer Konvokesyen ke-61 USM

    Pautan Pantas

    Hubungi Kami

    Jabatan Pendaftar
    Aras 5,
    Bangunan Canselori,
    Universiti Sains Malaysia,11800 USM,Pulau Pinang

    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
    Tel : 6046533888 ext. 3111/2416/2403
    Fax : 604-6581718  |  

    Pejabat Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Akademik
    dan Bahagian Pengurusan Maklumat & ICT

    Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia,11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

    Tel: 046533888 ext. 3111/2416/2403 | Fax: 04-6581718