SEJIWA USM 2024: BASMI STIGMA NEGATIF PENYAKIT MENTAL
USM PULAU PINANG, 25 Oktober 2O24 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan program Seni Ekspresif Jiwa (SEJiwa) dan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat USM buat kali kedua setelah program tersebut menerima sambutan yang memberangsangkan pada tahun lalu.
Bertemakan Kesedaran Kesejahteraan Mental, SEJiwa 2024 merupakan salah satu inisiatif USM untuk meningkatkan kesedaran, pemahaman dan sokongan terhadap kesihatan mental dalam kalangan warga Universiti dan sekitarnya.
Program tersebut telah menyediakan satu platform, yang mana isu-isu berkaitan kesihatan mental dapat dibicarakan secara terbuka dalam usaha membasmi stigma negatif terhadap penyakit mental.
Majlis yang dilangsungkan di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad.
Dalam ucapan beliau, Hayati merakamkan penghargaannya kepada pihak penganjur SEJiwa USM 2024 atas inisiatif dan dedikasi dalam meningkatkan kesedaran dalam menjaga dan memelihara kesihatan mental.
“USM memandang serius akan isu ini dan mengorak langkah dengan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti perkembangan, pemulihan dan pencegahan kepada warga staf dan pelajar bagi membendung isu ini dari terus meningkat,” tambahnya.
Beliau turut mengajak warga Universiti untuk menunjukkan sikap empati dan terbuka dalam berbicara isu-isu kesihatan mental supaya stigma yang menjadi duri dalam daging dan pembunuh dalam senyap ini dapat dibasmi.
“Kita perlu berani untuk berbicara, berani untuk mendengar, dan yang paling penting sekali, berani untuk memberi sokongan kepada satu sama lain,” ujar Pegawai Psikologi, Bahagian Sumber Manusia (BSM) USM merangkap Pengarah Program SEJiwa 2024, Mohamad Shafieq Ishak dalam majlis yang sama.
SEJiwa 2024 telah menganjurkan tiga kategori pertandingan sepanjang bulan Oktober iaitu SEJiwa Voice (Nyanyian), Seni Lukisan; dan Poster Digital. Penyertaan bagi ketiga-tiga pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori, staf dan pelajar.
Kata Shafieq lagi, pertandingan ini bukan sahaja bertujuan untuk menonjolkan bakat lukisan atau nyanyian tetapi ia juga adalah satu pentas bagi mengekspresikan cerita dan pengalaman mereka dengan selamat.
Seiring dengan sambutan bulan kaunseling tahun ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan.
Unit Perhubungan Staf, BSM telah mengadakan program seperti Podcast Kaunselor HR, Wacana Antarabangsa Kaunseling dan Kesejahteraan Psikologi (WaKEP), serta Pentas Pidato Kesejahteraan Mental (PENTAL) Peringkat IPT.
Sementara itu, di peringkat pelajar pula, Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM telah aktif menjalankan program-program seperti UK Outreach, Webinar LGBT: “Cinta Tanpa Fitrah… Jauhi Nikmat Yang Membarah”, UK Open Night, Bengkel Pengurusan Stres, dan yang terbaru adalah diskusi santai “LETOP” - Lepak Teh O Panas.
Malam SEJiwa dan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat USM tersebut merupakan acara kemuncak sambutan bulan kaunseling dan telah dimeriahkan dengan aktiviti pameran penaja, pameran poster kesedaran kesejahteraan mental, persembahan puisi kesihatan mental, pertandingan akhir SEJiwa Voice, kuiz kesihatan mental, dan persembahan istimewa artis jemputan.
Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak/Foto: Shahnizam Ab Rahim
Sumber : www.usm.my (MPRC)