• Home
  • Berita & Hebahan
  • Berita & Informasi
  • MAJLIS BAKTI DISANJUNG BUDI DIJUNJUNG, 34 TAHUN DATO’ DR. MUSA HAJI ALI BERKHIDMAT DI USM

MAJLIS BAKTI DISANJUNG BUDI DIJUNJUNG, 34 TAHUN DATO’ DR. MUSA HAJI ALI BERKHIDMAT DI USM

USM PULAU PINANG, 29 Februari 2024 – Jabatan Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM) telah meraikan Dato’ Dr. Musa Haji Ali dalam Majlis Bakti Disanjung Budi Dijunjung sebagai tanda penghargaan kepada beliau yang berkhidmat dan menabur bakti di USM selama 34 tahun.

Hari ini merupakan hari terakhir buat Musa di USM dengan jawatan terakhir beliau sebagai Pendaftar USM. Beliau akan bersara secara rasmi bermula pada 1 Mac 2024.

20240229 01

20240229 08

Hadir mewakili Naib Canselor USM, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Musa di atas segala jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan di universiti tercinta ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh perkhidmatan Musa, beliau sangat terkenal dengan kemahiran dan pengalaman luas di dalam bidang penulisan dan juga penggerak utama kepada pengenalan beberapa sistem sumber manusia dan kerangka kompetensi serta aktif dalam transformasi pendigitalan di Universiti.

“Segala usaha dan pengorbanan yang telah disumbangkan secara langsung mahupun tidak langsung telah banyak membantu membangunkan Universiti sehingga di kedudukan pada masa ini,” katanya lagi.

Turut hadir sama adalah isteri Dato’ Musa, Datin Zurida Aziz; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun@Kamaruddin; Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Sumber Manusia, Mohd Azizudin Mohd Shariff yang menjalankan fungsi Pendaftar USM serta pegawai-pegawai utama universiti.

20240229 02

Sebagai rekod, Musa mula berkhidmat di USM pada tanggal 30 Ogos 1990 sebagai Pegawai Tadbir Universiti di Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan.

Beliau memegang jawatan sebagai Pendaftar ke-10 USM dari 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2023.

20240229 03

20240229 04

Di samping bertugas sebagai Pendaftar USM, beliau juga adalah Pengasas dan Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) USM, dan pernah memegang jawatan Penyelaras Program Pemindahan Ilmu (Pemantauan), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pakar rujuk perancangan strategik dan pengurusan sumber manusia untuk pelbagai agensi pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Seluruh warga USM mengucapkan selamat bersara, selamat maju jaya dan mendoakan semoga Dato’ Dr. Musa Haji Ali sentiasa diberi perlindungan dan kesihatan berpanjangan oleh Allah SWT serta dimurahkan rezeki dan berbahagia bersama keluarga tercinta.

Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Suntingan: Tan Ewe Hoe
Sumber : www.usm.my

    Pautan Pantas

    Hubungi Kami

    Jabatan Pendaftar
    Aras 5,
    Bangunan Canselori,
    Universiti Sains Malaysia,11800 USM,Pulau Pinang

    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
    Tel : 6046533888 ext. 3111/2416/2403
    Fax : 604-6581718  |  

    Pejabat Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Akademik
    dan Bahagian Pengurusan Maklumat & ICT

    Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia,11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

    Tel: 046533888 ext. 3111/2416/2403 | Fax: 04-6581718