KIK HORIZON BAHARU 2025: SEMANGAT INOVASI USM MEMUNCAK
Pulau Pinang, 18 Ogos 2025 – Pusat Transformasi Insan (PTi), Jabatan Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program Persediaan Pembangunan Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Horizon Baharu (HB) sebagai langkah awal memperkukuh hala tuju serta meningkatkan keberkesanan kumpulan KIK di USM.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 18 hingga 19 Ogos 2025 di Eastin Hotel, Pulau Pinang ini membuka tirai dengan Sesi 1: Bengkel Pembangunan dan Pengenalan KIK Horizon Baharu (HB). Bengkel ini memberi fokus kepada latihan pembangunan dan penyediaan dokumen projek yang efektif bersama fasilitator berpengalaman.
Menariknya, penganjuran kali ini mencatatkan penyertaan kumpulan paling ramai sejak pelaksanaan program KIK Horizon Baharu di USM. Seramai 15 kumpulan telah mendaftar, merangkumi:
• 6 kumpulan dari Kampus Induk,
• 1 kumpulan dari Kampus Kejuruteraan, dan
• 8 kumpulan dari Kampus Kesihatan & Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia

Majlis pembukaan program ini turut diserikan dengan ucapan aluan oleh Pendaftar USM, En. Mohd Azizudin Mohd Shariff, yang menekankan kepentingan KIK sebagai wahana pembangunan inovasi dan budaya kerja berpasukan. Beliau turut mengingatkan semua peserta bahawa komitmen terhadap inovasi bukan sahaja memperkukuh penyampaian perkhidmatan universiti, malah meningkatkan keupayaan USM untuk bersaing di peringkat kebangsaan.
Jumlah penyertaan yang tinggi ini sekali gus mencerminkan semangat dan kesungguhan warga USM dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi. Pihak PTi optimis bahawa penganjuran kali ini akan menjadi pemangkin lahirnya idea baharu yang kreatif dan inovatif, seterusnya memberi nilai tambah kepada kecemerlangan universiti.
FB : Pusat Transformasi Insan