• Home
  • Berita & Hebahan
  • Berita & Informasi
  • JOM MASUK U 2025 ZON UTARA MERIAH SEKALI DI USM, PELUANG PENGAJIAN TINGGI TERBUKA LUAS

JOM MASUK U 2025 ZON UTARA MERIAH SEKALI DI USM, PELUANG PENGAJIAN TINGGI TERBUKA LUAS

USM PULAU PINANG, 3 Mei 2025 – Karnival Jom Masuk U 2025 Zon Utara anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), telah dilancarkan secara rasmi hari ini di Dewan Utama Pelajar (DUP), Universiti Sains Malaysia (USM).

20250503 01

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.

20250503 02

Dalam ucapan perasmian beliau, Azlinda menyuarakan komitmen teguh kerajaan bagi menjayakan hasrat dan misi global menerusi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui pelaksanaan Karnival Jom Masuk U.

Program ini dirangka bagi menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti, yang menyeru agar semua pihak memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif, saksama, dan berkualiti tanpa mengira latar belakang.

20250503 03

Beliau turut menyatakan bahawa Keterjaminan Akses kepada Pendidikan Tinggi, salah satu daripada tujuh fokus utama hala tuju pendidikan tinggi negara bagi tahun 2025, juga merupakan tonggak kepada pelaksanaan dasar dan program Jom Masuk U ini.

“Pelaburan paling berharga dalam kehidupan ini adalah pelaburan dalam ilmu dan pendidikan. Mari kita bersama-sama membudayakan semangat menuntut ilmu,” seru Azlinda.

20250503 04

“Menjadi warga berilmu bukan sekadar kunci kepada kejayaan peribadi, tetapi merupakan asas utama untuk membina sebuah masyarakat yang maju, berdaya saing, dan dihormati di persada dunia,” tambahnya.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed turut menyeru kepada semua pengunjung, terutamanya para pelajar sekalian untuk memanfaatkan sesi taklimat UPU yang dibuat secara langsung, melibatkan diri dalam pameran interaktif, dan mengenal lebih dekat bidang pengajian yang ditawarkan oleh pelbagai institusi pendidikan tinggi dalam negara.

Beliau berkata, “Selaras dengan misi Mentransformasi Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok, USM terus memacu agendanya untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat yang inklusif dan berdaya saing.”

20250503 05

20250503 06

“USM juga terus mengorak langkah dengan mempraktikkan pendekatan kelas tanpa sempadan melalui pelaksanaan Massive Open Online Courses (MOOCs), pembelajaran hibrid, dan microcredentials yang bersifat modular, dan boleh diakses oleh masyarakat dengan lebih luas.

20250503 07

20250503 08

“Semua inisiatif ini dilakukan bukan sahaja untuk menyokong pembudayaan ilmu, tetapi juga untuk memberi nilai tambah dalam mewujudkan satu ekosistem pendidikan tinggi yang berkualiti, seperti yang dihasratkan oleh KPT,” kata Abdul Rahman.

Turut hadir di majlis adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Karnival Jom Masuk U 2025 Zon Utara, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan-timbalan Naib Canselor Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA); Pegawai-pegawai Utama KPT dan USM; ahli-ahli Jawatankuasa Jom Masuk U Zon Utara, serta para pempamer IPTA, Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan agensi-agensi Kerajaan.

Antara tarikan utama program ini adalah kaunter UPU Online, sesi kaunseling percuma, taklimat universiti, aktiviti interaktif, dan karnival keusahawanan.

20250503 09

20250503 10

Sebanyak 56 reruai pempamer menyertai program ini, menawarkan pelbagai maklumat berkaitan laluan pengajian, syarat kemasukan, bantuan kewangan, dan biasiswa.

20250503 11

Karnival yang akan berlangsung selama dua hari dari 3 hingga 4 Mei 2025 ini terbuka kepada semua dan masuk adalah percuma.

Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
Sumber : https://news.usm.my/

    Pautan Pantas

    Hubungi Kami

    Jabatan Pendaftar
    Aras 5,
    Bangunan Canselori,
    Universiti Sains Malaysia,11800 USM,Pulau Pinang

    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
    Tel : 6046533888 ext. 3111/2416/2403
    Fax : 604-6581718  |  

    Pejabat Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Akademik
    dan Bahagian Pengurusan Maklumat & ICT

    Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia,11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

    Tel: 046533888 ext. 3111/2416/2403 | Fax: 04-6581718

    • Last Modified: Wednesday 11 June 2025.