HWS: ENAM KONTINJEN BURU JUARA BERADU PENUH SEMANGAT KESUKANAN DAN SETIAKAWAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Ogos 2023 – Hari Warga Staf (HWS), sambutan yang cukup melekat di dalam diri warga Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum ini merupakan acara tahunan yang mengumpulkan warga USM dari ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan, Kampus Kesihatan serta tidak ketinggalan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).
Kampus Kesihatan cukup sinonim sebagai lokasi penganjuran HWS dengan kemeriahan yang tiada tandingan. Ternyata HWS 2023 ditunggu-tunggu warga USM setelah tertangguh ekoran pandemik COVID-19 dan kali terakhir penganjurannya adalah pada tahun 2019.
Temasya kali ini bukan hanya menjadi medan pertarungan atau menobatkan siapa yang hebat semata-mata, malah ia merupakan ruang interaksi antara peserta yang terdiri daripada ahli akademik, pentadbir serta kakitangan daripada segenap lapisan melalui aktiviti sukan dan kebudayaan.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, kepelbagaian demografi jawatan dan bidang warga USM ini mampu mewujudkan suasana kekeluargaan dan keharmonian dalam persekitaran kampus.
“Saya yakin ia juga dapat meningkatkan motivasi dalaman (intrinsic motivation) staf untuk bekerja bersungguh-sungguh dan terus memberi sumbangan terbaik bagi mencapai kecemerlangan USM.
“HWS bukan sahaja menarik minat warga USM bersukan malah turut menjadi medan mencungkil bakat-bakat terpendam dalam pementasan dengan tema persembahan yang pelbagai dan inilah keunikan keluarga besar USM,” katanya ketika berucap merasmikan HWS USM 2023, hari ini.
Beliau berkata, biarpun acara sukan yang dipertandingkan tidak sehebat kejohanan sukan yang besar, namun ia mempunyai keunikan yang tersendiri.
“Selain bertanding untuk bergelar juara, terdapat elemen-elemen tersembunyi dalam setiap acara yang dipertandingkan seperti membina kekuatan mental, mengawal emosi, fokus, menyusun strategi dan yang paling penting adalah membina semangat berpasukan.
“Justeru, saya berharap strategi ini dapat diterapkan dalam tanggungjawab hakiki dan bertekad melaksanakan tugas untuk terus memacu USM ke tangga teratas dalam kelasnya yang tersendiri,” ujarnya lagi.
Pelbagai acara dipertandingkan pada HWS USM 2023 seperti Boling, 'Campuslauf' (larian dalam kampus), 'Scavenger Hunt' (mencari harta karun), 'Tug of War' (tarik tali), 'Funday Esporte' (sukaneka), 'Masterchef', Anjung Lestari (khemah terbaik), Hip-hip Horey (sorakan terbaik) dan Pentas Lantera Seni (persembahan pentas).
Masih mengekalkan nama berasaskan pokok-pokok herba yang menggambarkan kelestarian dan bersinergi dengan alam, enam (6) kontinjen berentap mewakili kesemua kampus iaitu Halia Bara dari Kampus Induk; Serai Wangi, Kampus Kejuruteraan; Duri Tujuh, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) manakala tuan rumah, Kampus Kesihatan mempertaruhkan tiga (3) kontinjen iaitu Misai Kucing, Kacip Fatimah dan Jarum Mas.
Tambah Abdul Rahman, bersesuaian dengan tema HWS USM 2023 iaitu ‘Warga Harmoni Universiti Lestari’, beliau berharap agar HWS tahun ini dizahirkan dengan penuh kemeriahan dan harmoni selaras dengan misi dan hala tuju USM.
“Tunjukkan semangat kebersamaan kita sebagai warga USM.
“Jadikan sambutan HWS ini sebagai platform untuk merapatkan hubungan silaturrahim dan berentaplah dengan semangat kesukanan serta tonjolkan bakat di atas pentas persembahan.
“Bukan piala tanda kemenangan, tetapi kebersamaan yang lahir menjadi penentu kejayaan,” jelasnya.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi yang turut menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlan Amran; Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; dan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HWS USM 2023, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
Sumber : www.usm.my