AKEPT RENCANAKAN PENDEKATAN KOLABORATIF UNTUK LAKSANAKAN PEMBANGUNAN BAKAT KEPIMPINAN IPT
USM PULAU PINANG, 4 Ogos 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini (pada 25 Julai 2022) menerima kunjungan daripada delegasi Pusat Pembangunan Kepimpinan, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan wakil Universiti Awam (UA) bagi program Sesi Libat Urus AKEPT dan Unit Latihan Universiti Awam (SLUA) Siri 4, di Dewan Persidangan Universiti, di sini.
Program ini diselaraskan oleh Unit Latihan Universiti Awam (SLUA) Siri 4, iaitu hasil kolaborasi antara AKEPT dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Ia dijalankan bersama Pusat Transformasi Insan (PTi) USM dan Kluster Kepimpinan USM, dengan memberi fokus kepada sesi perkongsian antara UA dan AKEPT berkenaan program-program kepimpinan dan pembangunan bakat yang dibangunkan oleh UA.
Menurut Timbalan Pengarah AKEPT, Profesor Madya Dr. Azila Ahmad Sarkawi dalam ucapan aluannya, selaras dengan inisiatif C2 dalam Lonjakan 2, Kecemerlangan Bakat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), AKEPT sebagai akademi latihan kepimpinan dengan kerjasama IPT akan terus mengenal pasti dan membangunkan kelompok bakat kepimpinan IPT.
“Berasaskan agenda tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui AKEPT telah merencanakan pendekatan secara kolaboratif untuk melaksanakan pembangunan kepimpinan demi kelangsungan pemantapan penyampaian perkhidmatan berprestasi tinggi,” katanya.
Tambah Azila, usaha perlu disemarakkan lagi dengan inisiatif yang berkait dengan kepimpinan institusi agar barisan pelapis dapat dikenal pasti.
“AKEPT berharap Program SLUA yang diadakan ini dapat memberi manfaat yang besar kepada semua Unit Latihan UA dalam merancang dan melaksanakan program pembangunan kepimpinan di UA masing-masing,” katanya lagi.
Sementara itu, Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Hj. Ali memberikan latihan dalam sesi Perkongsian Pembangunan dan Pelaksanaan Kerangka Kompetensi di USM, bersama wakil AKEPT dan wakil UA.
Ketika menyampaikan perkongsian itu, Musa berkata seorang pemimpin perlu menjadi kreatif, agar barisan pelapis dapat dikenal pasti di peringkat awal dan pembangunan bakat kepimpinan institusi dapat dilaksanakan dengan lebih terancang.
“Mempunyai perancangan atau pelan yang strategik adalah penting agar pihak pengurusan dapat memimpin dan memberikan sokongan untuk melaksanakan agenda-agenda yang sedia ada,” tambah Musa.
Program dihadiri oleh 40 pegawai dari semua Unit Latihan UA, dan turut hadir ke program adalah Pengarah Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional, UPNM, Kol. Dr. Hj Zahimi bin Hj Zainol Abidin; Ketua Kluster Kepimpinan USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; dan Pengarah PTi USM, Roslan Ismail.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi