145 ATLET DIRAIKAN DI MAJLIS ANUGERAH SUKAN KALI KE-43
USM PULAU PINANG, 26 Jun 2024 - Bagi meraikan penglibatan cemerlang atlet Universiti Sains Malaysia (USM) dalam arena sukan, Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) USM hari ini telah menganjurkan Majlis Anugerah Sukan USM kali ke-43 yang bertujuan mengiktiraf usaha dan pencapaian luar biasa para atlet sepanjang Sidang Akademik 2023/2024.
Majlis anugerah ini juga menunjukkan bahawa selain menumpukan kepada kecemerlangan akademik, sumbangan kepada masyarakat, hubungan erat dengan industri, USM juga turut memberi penekanan yang sangat besar kepada usaha menggilap potensi dan bakat mahasiswa/i dalam arena sukan di peringkat universiti, kebangsaan mahupun di pentas dunia.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para atlet adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Abdul Rahman dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para atlet yang telah mengharumkan nama universiti kerana telah mempamerkan prestasi cemerlang dengan menyumbang pingat bagi kontinjen USM dan juga pingat bagi kontinjen Malaysia di arena sukan bertaraf dunia.
“Ini membuktikan kita berada di landasan yang betul dalam membantu ekosistem kecemerlangan sukan Universiti dan negara,” katanya.
Abdul Rahman berharap Anugerah Sukan USM ini akan memberi satu lonjakan motivasi kepada atlet-atlet yang terlibat bagi mengharungi termasya-temasya sukan besar yang masih berbaki pada tahun 2024 ini.
“Tunjukkanlah daya juang, semangat kesukanan serta semangat patriotisme yang membanggakan kita semua. Teruskan berjuang dengan semangat “WE LEAD”. Insya-Allah pencapaian yang lebih gemilang akan dapat dikecapi,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengarah PSR USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim memberikan naratif kejayaan yang telah dicapai oleh para atlet dalam bidang sukan yang dipertandingkan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Seramai 145 atlet telah diraikan di majlis tersebut.
Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar Dan Alumni, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pendaftar USM, Mohd Azizuddin Mohd Shariff; Pengerusi Panel Anugerah Sukan USM, Profesor Madya Dr. Nazaruddin Zainon; Pengarah, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Harry Chai Heng Hua dan Ahli-ahli Jawatankuasa Panel Pemilih Anugerah Sukan USM 2024.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa