Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera,
YBhg. Dato’ Seri/Dato’/ Datin/ Tuan/ Puan,
Sukacita dimaklumkan bahawa
Unit Perhubungan & Kesejahteraan Staf (UPKS),
Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar akan menganjurkan
Podcast: Sembang Kaunselor BSM USM 2026 seperti ketetapan berikut :-
Tarikh : 11 Mac 2026
Masa : 10.00 pagi – 11.30 pagi
Tajuk : Siri 1 - Mahalnya Harga Sebuah "Diam"
Panel : Encik Muhammad Firdaus Abu Mansor K.B;P.A
Medium : Facebook Live menerusi Laman Facebook Perkhidmatan Perundingan & Kaunseling Staf USM
(
https://www.facebook.com/kaunselorstafusm )
Untuk makluman YBhg. Dato’ Seri/Dato’/ Datin/ Tuan/ Puan, penganjuran podcast ini merupakan salah satu inisiatif berterusan Bahagian Sumber Manusia dalam memperkukuh agenda kesejahteraan mental dan psikososial warga universiti. Seiring dengan keperluan semasa yang menuntut keseimbangan antara tuntutan kerjaya dan kesejahteraan diri, platform ini diwujudkan sebagai ruang diskusi terbuka, santai dan berinformasi yang mengetengahkan isu-isu berkaitan kesihatan mental, kaunseling, psikologi serta pembangunan diri.
Podcast Siri 1 dengan tajuk Mahalnya Harga Sebuah "Diam" bakal menghidangkan satu kembara ilmu tentang kepentingan menyelami falsafah di sebalik tindakan membungkam lisan, bukan sebagai tanda menyerah kalah, tetapi sebagai strategi ampuh dalam mengawal ego dan mematangkan jiwa. Melalui perkongsian ini, kita akan mengupas bagaimana diam mampu menjadi perisai dan alat pemerhatian yang bijak dalam mendepani konflik profesional mahupun peribadi. Lebih daripada sekadar menutup mulut, penonton akan dibawa menelusuri garis pemisah antara diam yang membawa hikmah dengan diam yang bersifat 'keganasan dingin' (cold violence) sekali gus memahami impak di sebalik setiap bentuk 'diam' yang kita manifestasikan.
Sehubungan dengan itu, semua warga USM dijemput untuk menyertai program ini secara PERCUMA, dengan pemberian mata myCPD bagi Staf dan myCSD bagi Pelajar USM. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, boleh menghubungi Cik Nur Amalina Mohd Sagaf (Sambungan 6243 | This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)
Sokongan dan penyertaan semua warga USM amatlah dihargai dalam usaha menyemarakkan lagi usaha membudayakan kesejahteraan mental dan persekitaran kerja yang sihat di Universiti.
Sekian, terima kasih.
b.p Encik Muhammad Firdaus bin Abu Mansor K.B;P.A.
Pegawai Psikologi
Bahagian Sumber Manusia
Jabatan Pendaftar