Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera,
YBhg. Dato' Seri/ Datuk/Dato'/Datin/Prof./Tuan/Puan,
Sukacita dimaklumkan bahawa Universiti Sains Malaysia melalui Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, Kampus Induk berbesar hati menawarkan Perkhidmatan Perundingan & Kaunseling kepada seluruh warga Staf USM. Perkhidmatan ini merupakan inisiatif Universiti bagi membantu staf mengurus isu-isu kesejahteraan psikologi dan emosi, tekanan kerja, hubungan interpersonal, keseimbangan kerja dan kehidupan, serta pelbagai cabaran lain.
Perkhidmatan ini dikendalikan oleh Kaunselor Berdaftar yang bertauliah daripada Lembaga Kaunselor Malaysia dengan pematuhan sepenuhnya terhadap etika profesional kaunseling dan garis panduan yang ditetapkan, bagi memupuk persekitaran kerja yang sihat, harmoni dan produktif.
Dalam usaha memperkukuh kesejahteraan mental dan emosi warga staf USM, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar turut mengambil langkah proaktif membangunkan EMMA – AI Chatbot Kaunseling, sebuah inisiatif berteraskan teknologi kecerdasan buatan bagi menyokong kesejahteraan psikososial staf secara berterusan. Inisiatif ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 – Kesihatan dan Kesejahteraan, yang menekankan kepentingan memastikan kehidupan sihat dan kesejahteraan komuniti kampus.
Melalui pendekatan digital ini, EMMA menyediakan akses yang segera, mudah dan mesra pengguna sebagai sistem sokongan awal, termasuk ruang perbincangan dan luahan perasaan secara rahsia, maklumat kesejahteraan psikologi, cadangan intervensi awal serta pautan kepada perkhidmatan kaunseling profesional USM apabila diperlukan.
EMMA bukan pengganti kaunselor, tetapi langkah awal kepada sokongan profesional.
Semua warga Staf USM dijemput untuk mendapatkan perkhidmatan ini secara PERCUMA melalui laman Campus Online USM pada pautan myCounselling. Permohonan temu janji sesi kaunseling adalah tertakluk kepada kesesuaian dan penetapan masa melalui persetujuan bersama antara Kaunselor dan Staf.
Sebarang pertanyaan lanjut, sila rujuk poster yang dilampirkan atau hubungi Kaunselor seperti maklumat yang tertera.
“Kerana Anda Berhak Didengari dan Difahami.”
Sekian.
b/p Puan Norazlinda binti Muda
Pegawai Psikologi Kanan
Bahagian Sumber Manusia
Jabatan Pendaftar
Pautan Pantas
Hubungi Kami
Pejabat Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Akademik
dan Bahagian Pengurusan Maklumat & ICT
Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia,11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Tel: 046533888 ext. 3111/2416/2403 | Fax: 04-6581718