WARGA STAF USM DISERU USAHA CAPAI KUALITI PERKHIDMATAN TERBAIK

20240625 18

PULAU PINANG, 25 Jun 2024 – Warga staf Universiti Sains Malaysia (USM) diseru agar terus memberikan perkhidmatan yang terbaik, berkualiti dan berinovasi dalam menjulang nama universiti di peringkat kebangsaan mahupun global.

Itu harapan Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff yang ingin melihat semua peringkat staf di USM bekerjasama dan berusaha keras bagi mencapai tahap transformasi kualiti perkhidmatan terbaik demi Menara Ilmu tercinta.

Jelas beliau, setiap warga kerja USM mempunyai peranan yang sangat penting kepada universiti, baik dari staf pelaksana, Pengurusan dan Profesional (P&P), akademik sehinggalah kepada pengurusan tertinggi universiti.

Malah, USM yang sentiasa menekankan tahap kualiti perkhidmatan stafnya akan kekal memacu kecemerlangan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang hebat dan berjaya dalam setiap lapangan.

20240625 17

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu bagi mewujudkan budaya “performance excellence” dalam diri masing-masing dan bekerja sebagai sebuah pasukan, serta jadikan kelaziman penambahbaikan berterusan sebagai sebahagian daripada budaya kerja warga USM,” kata beliau ketika mewakili Naib Canselor Universiti Sains Malaysia bagi merasmikan Majlis Penghargaan Universiti 2024 – Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan Anugerah Sanjungan Budi (ASB) 2024 yang diadakan di Setia SPICE Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang.

Azizudin turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas bagi pihak universiti kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Anugerah Sanjungan Budi 2024, dan mengharapkan sokongan, usaha dan tanggungjawab dapat digalas dengan penuh amanah oleh staf USM bagi memastikan misi dan visi universiti tercapai seperti disasarkan.

20240625 19

Di majlis yang sama, Azizudin turut berkesempatan menyampaikan anugerah-anugerah tersebut kepada warga staf USM yang telah dipilih sebagai penerima APC dan ASB.

Seramai 411 orang penerima APC dan ASB diraikan dan daripada jumlah tersebut, seramai 367 warga staf cemerlang dari seluruh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan IPPT telah dipilih sebagai penerima APC.

Daripada jumlah tersebut, 102 orang adalah staf akademik, 47 staf Pengurusan dan Profesional (P&P) serta 218 orang lagi dalam kalangan staf Pelaksana. Manakala seramai 44 orang staf yang telah berkhidmat dengan Universiti selama 25 tahun telah menerima ASB 2024 dengan pecahan 17 staf akademik, 7 staf P&P serta 20 orang lagi staf Pelaksana.

20240625 20

Setelah hampir lima tahun MPU ini tidak diadakan dan pada tahun 2024, majlis ini telah diadakan semula bagi meraikan serta mengiktiraf usaha, komitmen, jasa dan perkhidmatan cemerlang staf sepanjang tahun 2023.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab dan Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin; Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman; dan ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Shahnizam Ab Rahim / Erwan Roslan

    Pautan Pantas

    Hubungi Kami

    Jabatan Pendaftar
    Aras 5,
    Bangunan Canselori,
    Universiti Sains Malaysia,11800 USM,Pulau Pinang

    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
    Tel : 6046533888 ext. 3111/2416/2403
    Fax : 604-6581718  |  

    Pejabat Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Akademik
    dan Bahagian Pengurusan Maklumat & ICT

    Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia,11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

    Tel: 046533888 ext. 3111/2416/2403 | Fax: 04-6581718