USM BIKERS GAMAT SUASANA PERARAKAN HARI KEMERDEKAAN NEGERI PULAU PINANG
PADANG KOTA, PULAU PINANG, 31 Ogos 2022 - Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Pulau Pinang berlangsung dengan meriah pada hari ini dalam suasana cuaca yang baik dan dibanjiri masyarakat setempat.
Dalam suasana penuh bersejarah pada hari ini, tidak terkecuali kontingen USM Bikers daripada Universiti Sains Malaysia (USM) seramai 50 buah motosikal yang menggamat suasana dengan bunyi pelbagai jenis motosikal masing-masing.
Pengerusi USM Bikers, Zulkifli Che Hussin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli yang telah memberi komitmen dan dapat menghadirkan diri pada hari yang bersejarah pada hari ini.
“Sebagai keluarga Malaysia, kita perlu sentiasa teguh bersama dalam menghadapi sebarang cabaran yang bakal mendatang dalam memastikan semangat cintakan tanah air itu akan terus subur di dalam diri masing-masing,” jelasnya yang mengetuai kontingen bermotor ini.
Rata-rata staf yang terlibat dalam kontingen USM Bikers ini melahirkan rasa bangga kerana dapat berada pada hari ini dalam semangat muhibbah dan bersatu-padu untuk merayakan kemerdekaan kali ini.
50 buah motosikal yang mengambil bahagian dalam kontingen USM Bikers ini terdiri daripada staf seluruh kampus utama USM.
Sementara itu, USM turut menghantar kontingen kawadnya pada hari ini.
Perbarisan pada hari ini diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Ebrahim Abdul Manan