PTI PERKASA KOMPETENSI PENTADBIR MELALUI LITERASI PERUNDANGAN UNIVERSITI

Seramai 130 orang peserta terdiri daripada Ketua Jabatan serta Pegawai Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Program Syarahan Pentadbir Siri 1/2026 anjuran Pusat Transformasi Insan (PTI) di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM, di sini baru-baru ini.
Program bertajuk “AUKU, Perlembagaan dan Statut: Hierarki Undang-Undang Universiti” itu menampilkan Penasihat Undang-Undang Universiti, Dato’ Dr. Khairul Anuar Che Azmi sebagai penceramah.
Syarahan Perundangan Universiti
Syarahan tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kerangka perundangan yang menjadi asas kepada pentadbiran Universiti, termasuk kedudukan dan hubungan antara Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Perlembagaan Universiti serta Statut dalam konteks tadbir urus dan pelaksanaan tanggungjawab pentadbiran.
Pendedahan terhadap aspek perundangan ini penting bagi memastikan setiap keputusan dan tindakan pentadbiran dilaksanakan berlandaskan bidang kuasa, peraturan serta ketetapan yang berkuat kuasa, sekali gus memperkukuh amalan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
Peserta Program Syarahan Pentadbir
Penganjuran Syarahan Pentadbir merupakan salah satu inisiatif PTI dalam memperkasa kompetensi dan profesionalisme pentadbir USM melalui perkongsian ilmu serta kepakaran dalam bidang strategik yang berkaitan dengan pengurusan dan tadbir urus Universiti.
Sesi Pengurusan dan Tadbir Urus
Program ini juga menyediakan ruang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan serta memperkukuh kefahaman terhadap isu berkaitan perundangan Universiti, seterusnya menyokong pelaksanaan fungsi pentadbiran yang lebih cekap, teratur dan berkesan.
Teks: Pusat Transformasi Insan, USM
Foto: Pusat Transformasi Insan, USM
Sumber pautan : Berita Mutakhir USM


