Skip to main content

PENGIKTIRAFAN HARI INI, AMANAH UNTUK KEKAL CEMERLANG – NAIB CANSELOR USM

KOTA BHARU, KELANTAN, 20 Julai 2026 – Pengiktirafan yang diterima warga Universiti Sains Malaysia (USM) bukan sekadar tanda penghargaan terhadap kecemerlangan dan sumbangan yang telah dicurahkan, malah merupakan satu amanah untuk terus meningkatkan produktiviti, memperkukuh budaya kerja cemerlang serta memberikan sumbangan terbaik kepada universiti.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan Anugerah Sanjungan Budi (ASB) 2026 perlu menjadikan pengiktirafan yang diterima sebagai pemangkin untuk terus memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Pengiktirafan ini bukanlah titik akhir kepada kecemerlangan yang telah dicapai. Sebaliknya, ia merupakan satu amanah dan pemangkin untuk para penerima terus menjadi lebih produktif, lebih beriltizam dan terus menyumbang kepada kecemerlangan universiti.

"Bagi staf yang hebat dan sentiasa mengekalkan mutu kerja cemerlang, mereka tidak mengharapkan diberi pengiktirafan APC kerana tanggungjawab itu sememangnya budaya kerja mereka. Jadi, terus kekalkan sifat seperti ini kerana suatu masa nanti, anda semua tetap akan menerima pengikrafan yang selayaknya dari Allah SWT,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Universiti 2026 – APC 2025 dan ASB 2026 yang berlangsung di Hotel Grand Riverview, hari ini.

Menurut beliau, kecemerlangan sesebuah organisasi merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul secara bersama kerana pencapaian sesebuah institusi tidak terhasil daripada usaha segelintir individu semata-mata.

“Setiap warga mempunyai peranan masing-masing. Kecemerlangan organisasi adalah keutamaan kita bersama dan setiap sumbangan, sama ada besar atau kecil, mempunyai nilai dalam memastikan USM terus bergerak ke hadapan,” ujarnya lagi.

Abdul Rahman turut berharap agar pengiktirafan yang diterima para penerima dapat menjadi pemangkin dan pencetus semangat kepada warga universiti yang lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang serta tanggungjawab masing-masing.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi pencetus semangat kepada yang lain untuk turut memberikan yang terbaik kerana kecemerlangan seseorang harus menjadi inspirasi kepada kecemerlangan orang lain,” jelasnya.

Beliau turut berharap agar semangat iltizam, integriti dan budaya kerja cemerlang yang ditunjukkan oleh para penerima akan terus diperkasakan bagi memastikan USM terus mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

Pada majlis tersebut, seramai 459 staf cemerlang daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Kampus Kesihatan menerima APC, manakala 126 staf menerima ASB 2026.

Secara keseluruhannya, seramai 585 warga universiti diraikan menerusi kedua-dua anugerah tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan, komitmen dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada USM.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Hospital Pakar USM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani serta Ketua-ketua Jabatan Kampus Kesihatan USM.

Teks: Norheliza Mukram @ Sulaiman / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

Sumber Asal/Pautan : Berita Kampus Kesihatan