Skip to main content

LAWATAN RASMI PEJABAT PENDAFTAR, BSM DAN PTI KE MGTF USM MENGIMBAU SEJARAH DAN WARISAN

Universiti Sains Malaysia, 3 Julai 2026 – Pejabat Pendaftar bersama Bahagian Sumber Manusia (BSM) dan Pusat Transformasi Insan (PTI) telah mengadakan Lawatan Rasmi ke Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) pada hari ini sebagai satu inisiatif untuk memperkukuh pengetahuan mengenai sejarah dan legasi universiti di samping memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja.

Program yang berlangsung dari 9.30 pagi hingga 11.30 pagi itu turut disertai oleh warga Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar dan Pusat Transformasi Insan (PTI). Para peserta telah diberi peluang meninjau pelbagai koleksi dan pameran yang mengetengahkan sejarah, pencapaian serta warisan USM.

Lawatan tersebut telah diserikan dengan kehadiran Pendaftar USM, Encik Mohd Azizudin Bin Mohd Shariff, Pengarah Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, Dr. Tetriana Binti Ahmed Fauzi, Timbalan Pendaftar merangkap Ketua Bahagian Sumber Manusia, Puan Sarina Binti Razak, serta Pengarah Pusat Transformasi Insan, Puan Nurul Izzati Binti Rozali.

Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk memberi peluang kepada peserta meneroka sejarah dan legasi USM yang dipamerkan di MGTF, menambah ilmu pengetahuan berkaitan koleksi dan pameran muzium, menghargai warisan universiti sebagai asas membina masa depan yang lebih cemerlang, serta memperoleh inspirasi melalui perkongsian sejarah dan pencapaian institusi.

Selain itu, program ini turut menjadi platform bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh semangat berpasukan antara warga Pejabat Pendaftar, Bahagian Sumber Manusia dan Pusat Transformasi Insan melalui penglibatan dalam aktiviti bersama dalam suasana yang santai dan bermakna.

Pihak Muzium & Galeri Tuanku Fauziah turut menyediakan jamuan makan pagi kepada semua peserta sebagai tanda penghargaan atas kehadiran dan sokongan terhadap usaha mempromosikan warisan serta sejarah Universiti Sains Malaysia.

Diharapkan program seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan bagi meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan memelihara warisan institusi, di samping memperkukuh budaya kerja berpasukan dan kecemerlangan organisasi.

Teks : Pejabat Pendaftar

    KELESTARIAN

    Komponen Penglibatan Staf & Komuniti

    “Memelihara Warisan, Menyemai Ilmu, Membina Insan, Meneruskan Legasi.”

    Program ini mencerminkan konsep kelestarian warisan, ilmu dan modal insan melalui usaha memelihara serta menghayati sejarah dan legasi institusi. Pendedahan kepada koleksi dan pameran MGTF bukan sahaja meningkatkan pengetahuan warga kerja tentang sejarah Universiti, malah menyemai rasa tanggungjawab untuk menghargai, memelihara dan meneruskan warisan tersebut kepada generasi akan datang. Pada masa yang sama, penglibatan bersama warga Pejabat Pendaftar, Bahagian Sumber Manusia dan Pusat Transformasi Insan memperkukuh aspek kelestarian sosial melalui pembinaan hubungan, semangat kebersamaan dan budaya kerja berpasukan.