• Home
  • Berita & Hebahan
  • Berita & Informasi
  • KONVOKESYEN USM KE-63: SUASANA MERIAH WARNAI HARI PERTAMA PENGAMBILAN PAKAIAN AKADEMIK

KONVOKESYEN USM KE-63: SUASANA MERIAH WARNAI HARI PERTAMA PENGAMBILAN PAKAIAN AKADEMIK

USM PULAU PINANG, 15 November 2025- Hari pertama pengambilan pakaian akademik bagi Upacara Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) membuka tirainya dengan penuh kemeriahan apabila ratusan graduan hadir seawal pagi di perkarangan Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP). Keceriaan jelas terpancar pada wajah para graduan yang tidak sabar menantikan detik bersejarah untuk menerima ijazah masing-masing.

20251115 01

Seawal jam 9.00 pagi, proses pengambilan berlangsung lancar dengan kerjasama teratur daripada petugas konvokesyen yang memastikan setiap urusan pengesahan, penyelarasan saiz, dan pemakaian pakaian akademik berjalan dengan sistematik. Suasana sekitar DTSP turut meriah dengan sesi fotografi, rakaman momen kenangan serta gelak tawa bersama keluarga, rakan-rakan dan pensyarah yang menjadi tonggak kejayaan mereka.

20251115 02

Hari pengambilan pakaian akademik ini bukan sahaja menandakan bermulanya minggu konvokesyen, malah menjadi simbol kepada perjalanan panjang para graduan yang bakal diraikan secara rasmi dalam sidang-sidang yang akan berlangsung.

Sementara itu, Tuanku Canselor USM, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, telah memperkenankan bahawa Upacara Konvokesyen USM ke-63 akan diadakan mulai Selasa, 25 November 2025 hingga Selasa, 2 Disember 2025, bertempat di DTSP, Kampus Induk USM.

20251115 03

Sebanyak 9,347 graduan bakal menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen kali ini yang akan dijalankan dalam empat belas (14) sidang. Sidang Pertama akan dipengerusikan oleh DYMM Tuanku Canselor, manakala Sidang Kedua hingga Sidang Keempat Belas akan dipengerusikan oleh para Pro-Canselor USM mengikut jadual rasmi yang telah ditetapkan.

20251115 04

Upacara Konvokesyen ke-63 ini sekali lagi menjadi medan USM menghargai kecemerlangan akademik, ketabahan serta pencapaian para graduannya, mewakili generasi baharu pemimpin, profesional dan inovator yang bakal menyumbang kepada pembangunan negara.

Teks: Anis Ariney Mohd Asri/Suntingan: Dr. Miharaini Md Ghani/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
Sumber : https://news.usm.my/

    Pautan Pantas

    Hubungi Kami

    Jabatan Pendaftar
    Aras 5,
    Bangunan Canselori,
    Universiti Sains Malaysia,11800 USM,Pulau Pinang

    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
    Tel : 6046533888 ext. 3111/2416/2403
    Fax : 604-6581718  |  

    Pejabat Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Akademik
    dan Bahagian Pengurusan Maklumat & ICT

    Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia,11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

    Tel: 046533888 ext. 3111/2416/2403 | Fax: 04-6581718

    • Last Modified: Friday 16 January 2026.