Penganjuran podcast ini merupakan salah satu inisiatif berterusan Bahagian Sumber Manusia dalam memperkukuh agenda kesejahteraan mental dan psikososial warga universiti. Seiring dengan keperluan semasa yang menuntut keseimbangan antara tuntutan kerjaya dan kesejahteraan diri, platform ini diwujudkan sebagai ruang diskusi terbuka, santai dan berinformasi yang mengetengahkan isu-isu berkaitan kesihatan mental, kaunseling, psikologi serta pembangunan diri.
Podcast Siri 1 dengan tajuk Mahalnya Harga Sebuah "Diam" bakal menghidangkan satu kembara ilmu tentang kepentingan menyelami falsafah di sebalik tindakan membungkam lisan, bukan sebagai tanda menyerah kalah, tetapi sebagai strategi ampuh dalam mengawal ego dan mematangkan jiwa. Melalui perkongsian ini, kita akan mengupas bagaimana diam mampu menjadi perisai dan alat pemerhatian yang bijak dalam mendepani konflik profesional mahupun peribadi. Lebih daripada sekadar menutup mulut, penonton akan dibawa menelusuri garis pemisah antara diam yang membawa hikmah dengan diam yang bersifat 'keganasan dingin' (cold violence) sekali gus memahami impak di sebalik setiap bentuk 'diam' yang kita manifestasikan.