PROGRAM USMKU SEJAHTERA 2025 PERKUKUH SINERGI PEGAWAI TADBIR USM
PULAU PINANG, 28 Ogos 2025 – Pegawai Tadbir Universiti (PTU), Universiti Sains Malaysia (USM) disaran agar sentiasa berusaha menggalas amanah yang diberikan dengan cemerlang, selain menjadi sumber rujukan penting yang memberi impak kepada jabatan.
Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff berkata, dengan pelbagai kemajuan teknologi yang disifatkan banyak membantu dalam memudahkan urusan bidang tugas, PTU diharap dapat mengambil peluang sebaiknya untuk meningkatkan kemahiran yang ada.
Katanya, kemajuan teknologi menyumbang kepada peningkatan kualiti kerja pentadbir dan menggalakkan penggunaan sistem digital bersepadu bagi mengurangkan kerja manual, meningkatkan kecekapan serta mempercepat proses membuat keputusan.
“Justeru, ambil peluang yang ada untuk terus bersinergi dengan perkembangan semasa bagi mencapai objektif yang ditetapkan, selain memastikan pentadbir sentiasa fokus terhadap keberhasilan kerja yang berkualiti tinggi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sesi dua hala bersama PTU USM bersempena program USMku Sejahtera 2025 yang melibatkan para PTU USM bagi semua kampus termasuk Induk, Kejuruteraan, Kesihatan dan juga Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, baru-baru ini.
Tambah beliau, program berkenaan turut bertujuan menjadi platform dalam memberi latihan kepimpinan dan komunikasi strategik dalam kalangan PTU USM, khususnya membentuk kemahiran komunikasi berkesan dan kepimpinan inklusif agar pegawai tadbir lebih yakin dalam menyokong pengurusan universiti.
Program berkenaan turut dibangunkan secara khusus untuk mengurangkan jurang komunikasi dan mengekalkan motivasi dalam kalangan PTU dalam menggalas amanah masing-masing.
Mohd Azizudin turut menyatakan bahawa PTU memainkan peranan kritikal dalam operasi dan penyampaian perkhidmatan di universiti.
“Dengan kira-kira 200 PTU yang berkhidmat, mereka dianggap sebagai aset penting dalam memacu kemajuan USM, terutama dalam menghadapi perkembangan semasa yang memerlukan keupayaan penyesuaian dan ketahanan yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam program berkenaan juga, PTU yang berpengalaman diberi peluang untuk berinteraksi dan membimbing PTU yang baharu dilantik, serta memperkukuh ukhuwah antara satu sama lain.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk membentuk sinergi, tetapi juga untuk meningkatkan kerjasama dalam melaksanakan tugas harian.
Mohd Azizudin juga menyampaikan penghargaan kepada Pusat Transformasi Insan atas pengurusan yang cemerlang dalam melaksanakan program berbentuk ‘team building’ yang melibatkan PTU dari semua kampus USM.
Teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Pusat Transformasi Insan, USM