PERJUMPAAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI SAINS MALAYSIA BERSAMA STAF AKADEMIK BAHARU

USM PULAU PINANG Selasa, 2 September 2025 – YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman bin Mohamed, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia telah meluangkan masa untuk berjumpa dengan sekumpulan staf akademik. Sesi perjumpaan ini telah diadakan di Dewan Lantai Seni, Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA). Turut hadir adalah YBrs. Profesor. Sr. Dr. Mastura binti Jaafar @ Mustapha selaku wakil senat di Jawatankuasa Pemilih bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Akademik), Puan Sarina binti Razak Timbalan Pendaftar yang menjalankan fungsi Ketua Pentadbiran Bahagian Sumber Manusia dan Pegawai-pegawai Bahagian Sumber Manusia.
Sesi ini merupakan inisiatif Pejabat Naib Canselor dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia sebagai satu platform interaksi dekat antara Naib Canselor dan staf akademik baharu (kontrak serta percubaan). Sesi ini telah dihadiri oleh seramai 135 orang staf akademik dari Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).

Naib Canselor melalui ucapannya telah berkongsi pengalaman dan tips dalam mencorak hala tuju kerjaya sebagai staf akademik meliputi tujuh (7) konteks utama bermula dengan penerbitan, penyelidikan, penyeliaan, peningkatan penyelidikan berimpak tinggi, kolaborasi, pengkomersialan dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan. Beliau turut menegaskan kepentingan menetapkan fokus bagi bidang kepakaran agar mudah dan jelas untuk menetapkan hala tuju berdasarkan perancangan strategik. Di samping itu, beliau juga menyarankan agar staf akademik sentiasa bersikap positif dan berkeyakinan untuk menyahut cabaran bagi tugas yang diberikan oleh pihak Jabatan sebagai satu peluang meningkatkan pencapaian diri.

Semasa sesi soal jawab, staf akademik telah mengutarakan soalan berkisar tentang hal pelantikan dan pengesahan dalam jawatan. Mereka juga turut memberikan cadangan dan pandangan berkaitan kerja akademik untuk perhatian pihak pengurusan Universiti.

Sesi perjumpaan selanjutnya akan diadakan di Kampus Kesihatan atas semangat yang sama. Naib Canselor pada titipan akhirnya berharap sesi seumpama ini dapat diteruskan pada tahun akan datang supaya staf akademik diberi peluang untuk melontarkan pandangan dan mendapat suntikan semangat dalam mencapai kejayaan yang lebih menyerlah serta melonjakkan nama USM di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Teks : Norazreen Binti Razak (BSM)
Foto : Mohamad Adam Bin Ahmad Pauzi (BSM) & Muhamad Faris Darwisy Bin Mohammad Rafiq (MPRC)