• Home
  • Berita & Hebahan
  • Berita & Informasi
  • MERBAH SURIH UNGGULI MEGALANES, RANGKUL JUARA TENPIN BOLING HWS 2025

MERBAH SURIH UNGGULI MEGALANES, RANGKUL JUARA TENPIN BOLING HWS 2025

20250816 01

PULAU PINANG, 16 Ogos 2025 – Pasukan Merbah Surih dari Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) mengungguli saingan di Megalanes apabila dinobatkan sebagai juara acara tenpin boling sempena Hari Warga Staf (HWS) 2025 yang berlangsung meriah di sini, semalam.

20250816 02

Dengan pungutan jatuhan pin sebanyak 5,860, Merbah Surih mempamerkan prestasi cemerlang, meninggalkan pasukan di tempat kedua, Pipit Hutan dari Kampus Kejuruteraan, yang mengutip 5,492 pin.

Tempat ketiga pula diraih oleh Pekaka Udang dari Kampus Kesihatan dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 5,484.

Merbah Surih turut melakar kemenangan berganda apabila tiga pemainnya merangkul gelaran dalam kategori ‘High Siries'.

20250816 03

Mereka ialah Arief Ramadhan Juswa (714 pin), Mohd Syafiq Mohd Sukari (615 pin) dan Afnan Munir Abdul Manan (569 pin).

Arief sekali lagi menceriakan pasukan apabila dinobatkan sebagai pemenang high game dengan jatuhan 268 pin manakala kategori sama untuk wanita dimenangi oleh pemain dari Pipit Hutan, Nor Zainah Bahari (227).

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, hadir menyempurnakan pertandingan yang menjadi acara pembuka tirai HWS 2025, dengan Kampus Kejuruteraan sebagai tuan rumah, selain turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff, pengarah-pengarah kampus, pegawai utama universiti, ketua-ketua kontinjen dan tetamu jemputan lain.

Mohd Azizudin yang juga Ketua Kontinjen Merbah Surih berkata, kejayaan pasukan boling yang diketuai oleh Nazrul Fitri Ahmad tersebut mencerminkan kesungguhan mereka dalam mempamerkan prestasi terbaik buat kontinjen.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pasukan Merbah Surih kerana berjaya merangkul gelaran juara. Kemenangan ini bukan sekadar meraih mata tertinggi tetapi melambangkan kecekalan, kerjasama erat dan semangat juang yang hebat.

“Sebagai Ketua Kontinjen, saya amat berbangga melihat para pemain bermain dengan keyakinan. Kemenangan sememangnya menjadi matlamat utama, namun yang lebih penting adalah semangat kebersamaan dalam kalangan seluruh warga kampus,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran HWS bertujuan memperkukuh hubungan antara kampus, membina jaringan persahabatan baharu dan mempererat jalinan ukhuwah yang sedia terjalin di kalangan seluruh warga USM. 

Teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman, Kampus Kejuruteraan

    Pautan Pantas

    Hubungi Kami

    Jabatan Pendaftar
    Aras 5,
    Bangunan Canselori,
    Universiti Sains Malaysia,11800 USM,Pulau Pinang

    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
    Tel : 6046533888 ext. 3111/2416/2403
    Fax : 604-6581718  |  

    Pejabat Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Akademik
    dan Bahagian Pengurusan Maklumat & ICT

    Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia,11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

    Tel: 046533888 ext. 3111/2416/2403 | Fax: 04-6581718

    • Last Modified: Friday 31 October 2025.