MAJLIS AMANAT PENDAFTAR BERSAMA KONTINJEN PERARAKAN STAF USM SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2025
USM PULAU PINANG, 28 Ogos 2025 – Pendaftar Universiti Sains Malaysia, YBrs. Encik Mohd Azizudin bin Mohd Shariff, telah menyampaikan Amanat kepada Kontinjen Perarakan Staf USM bersempena penyertaan dalam Sambutan Hari Kebangsaan (31 Ogos 2025) dan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang (5 September 2025) yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Majlis penuh bersemangat ini telah diadakan di Dewan Utama Pelajar A, Kampus Induk.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YBrs. Puan Sarina binti Razak, Timbalan Pendaftar, Menjalankan Fungsi Ketua Bahagian Sumber Manusia; barisan urus setia dari Unit Perhubungan dan Kesejahteraan Staf (UPKS) serta Unit Pentadbiran dan Kewangan (UPK), Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar; para pegawai Bahagian Sumber Manusia dan para peserta kontinjen perarakan staf USM.
Seramai 49 orang staf menyertai Kontinjen Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan dan 30 orang staf menyertai Kontinjen Perarakan Maulidur Rasul, melibatkan pelbagai jabatan dan skim perkhidmatan. Secara keseluruhannya, seramai 67 orang staf terlibat, termasuk sebahagian yang mengambil bahagian dalam kedua-dua kontinjen. Komitmen tinggi ini jelas mencerminkan semangat kekitaan, disiplin serta kesungguhan warga USM dalam menjulang nama universiti di peringkat negeri.

Dalam amanat beliau, Encik Mohd Azizudin menegaskan bahawa kejayaan kontinjen bukan hanya diukur melalui kemenangan, tetapi melalui semangat kebersamaan dan kerjasama berpasukan.
“Jagalah disiplin, kekalkan semangat positif dan bergeraklah seiring sebagai satu pasukan kerana tuan-tuan dan puan-puan adalah cerminan Universiti Sains Malaysia. Menang atau kalah itu adat pertandingan, namun semangat kekitaan dan kebersamaan yang dibawa kontinjen USM adalah kemenangan sebenar.” katanya.
Majlis ini turut menjadi wadah penghargaan kepada para peserta dan urus setia atas komitmen, latihan berterusan serta usaha berpasukan yang telah digembleng sejak awal lagi.

Pihak Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar selaku pengelola yakin penyertaan ini bukan sahaja memperkukuh semangat kesetiaan dan kebersamaan warga USM, malah turut menyumbang ke arah memperkasakan jenama universiti sebagai sebuah institusi berprestij di persada negeri dan negara. Semoga terus maju jaya bagi kedua-dua Kontinjen yang bakal menyertai perarakan dengan penuh tekad dan kebanggaan.
Sumber : FB Bahagian Sumber Manusia USM