TINGKATKAN KUALITI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN

IMG 20180116 2

PULAU PINANG, 12 Januari 2018 – Peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan perlu diberi perhatian oleh staf pentadbiran Universiti Sains Malaysia (USM).

Demikian kata Pendaftar USM ke-9, Dr. Musa Ali yang baharu dilantik berkuatkuasa 1 Januari 2018 yang lalu menggantikan Profesor Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin.

“Harapan utama saya adalah supaya semua kualiti penyampaian perkhidmatan dapat dipertingkatkan untuk kepentingan dan kemudahan staf, pelajar dan pelanggan USM seiring dengan objektif strategik Universiti.

“Lawatan kerja ini diadakan bertujuan untuk beramah mesra bersama staf di samping melihat keperluan untuk penambahbaikan di setiap pusat perkhidmatan,” tambah Musa.

“Saya percaya, pusat perkhidmatan ini akan membolehkan staf, pelajar dan pelanggan Universiti berurusan dalam suasana yang selesa dan menerima perkhidmatan yang berkualiti,” tambah Musa yang turut membuat kunjungan hormat kepada pegawai-pegawai utama universiti selepas menerima pelantikan tersebut.

Musa memulakan tugas sebagai Pendaftar dengan melawat ke pusat-pusat perkhidmatan USM termasuk Jabatan Keselamatan, Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi, Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti, Pusat Sejahtera, Telefonis, Pusat Islam, Jabatan Pembangunan dan Pusat Aset dan Operasi.

Seterusnya, lawatan kerja ini akan diteruskan di pusat-pusat pengajian serta ke Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.