WARGA USM PRIHATIN DERMA DARAH BANTU MAZLINA OTHMAN

20180110f

USM, PULAU PINANG, 10 Januari 2018 - Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengumpul 58 pain darah pelbagai jenis di Tabung Darah, Hospital Pulau Pinang melalui penganjuran Program Derma Darah untuk membantu stafnya yang amat memerlukan darah jenis A+ iaitu staf Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Mazlina Othman yang kisahnya tular di media sosial baru-baru ini.

Pain darah yang berjaya dikumpul akan digunakan untuk membantu Mazlina yang mengalami masalah kekurangan darah akibat kanser yang dihidapi beliau sejak 3 tahun yang lalu. 

20180110e

Menurut penyelaras program, Penolong Pendaftar Kanan dari Unit Perhubungan Staf, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM, Siti Aishah Abdul Raffar, program ini dianggap berjaya disebabkan peningkatan tahap kesedaran dan keprihatinan staf dan pelajar USM untuk turun menderma darah bagi meringankan beban warganya serta masyarakat tempatan yang kurang bernasib baik dan secara tidak langsung membantu menyelamatkan nyawa. 

“Justeru, program derma darah yang telah dilaksanakan oleh staf dan pelajar USM ini diharap dapat mengembalikan jumlah darah yang normal buat Mazlina selain dapat juga mengubah kehidupan orang ramai,” jelasnya.

Siti Aishah juga memberitahu setitis darah yang disumbangkan tidak ternilai harganya serta amat besar makna kepada mereka yang memerlukan dan bersyukur bahawa untuk pembukaan tirai tahun 2018, inisiatif ini telah membuktikan semangat perpaduan semua warga USM yang masih utuh dalam aspek keprihatinan bersama.

Teks & Foto: Jabatan Pendaftar USM