KERIANGAN BERGANDA SUZIANA

20171101a

Sumber : www.hmetro.com.my
Oleh : Zuhainy Zulkiffli - am@metro.com.my

BAYI lelaki berusia satu hari menjadi tumpuan di Upacara Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM) apabila menemani ibu bapanya yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan di Georgetown, hari ini.

Pasangan dari Muar, Johor, Mohd Saleh Ibrahim, 43, dan Suziana Sulor, 41, tidak menyangka bayi itu dilahirkan sehari sebelum upacara berkenaan kerana dijangka bersalin pada 5 November depan.

Suziana yang juga kerani kewangan berkata, keluarganya tiba di Pulau Pinang pada 29 Oktober lalu bersama ayah, Sulor Ahmad, 67, ibu, Azizah Abu Bakar, 61 serta anak kelimanya, Lukman, 7, dan tinggal di inap desa berdekatan Bayan Lepas.

Katanya, dia berasa sakit pada tengah malam Ahad lalu, namun menganggap ia hanya kesakitan biasa berikutan banyak berjalan, tambahan pula menempuh perjalanan lebih 10 jam dari selatan ke utara tanah air.

"Pada mulanya saya enggan ke hospital, namun ibu memaksa kerana wajah saya sudah pucat serta seakan tanda seperti hendak melahirkan anak dan mujurlah tiada sebarang halangan ketika dalam perjalanan ke hospital.

"Anak keenam ini dilahirkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 2.35 pagi semalam dan dia adalah hadiah sempena konvokesyen bagi kami berdua," katanya.

Mohd Saleh dan Suziana antara graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing disampaikan Pro-Canselor USM Tan Sri Razali Ismail, hari ini.

Sementara itu, Azizah berkata, dia tergamam dengan kelahiran cucunya yang ke-16 ketika anak dan menantunya sedang bersiap untuk urusan konvokesyen.

"Mujurlah semua persiapan upacara dan kelengkapan bayi sudah siap dan anak serta saudara mara di kampung tidak sabar menunggu kepulangan bayi ini.

"Kami masih memikirkan namanya namun saya masih kurang percaya, datang ke sini (Pulau Pinang) berlima, pulang ke Johor nanti berenam," katanya.

Pada upacara bermula pada 28 Oktober lalu hingga esok, seramai 6,850 graduan daripada pelbagai aliran diraikan termasuk Ijazah Kehormat (1), Prof Emeritus (1), Ijazah Tinggi Doktor Falsafah dan Sarjana (2,043), Ijazah Sarjana Muda (4,759) dan Diploma Kejururawatan (48).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 2:51 PM
Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2017/11/279339/keriangan-berganda-suziana