SUAMI ISTERI BELAJAR DAN KONVO BERSAMA

USM, PULAU PINANG, 1 November 2017 – Sepasang suami isteri, Zambri Zainal Abidin, 39, dan Norlia Ali, 32, hari ini bergelar siswazah apabila bergraduasi dalam sidang yang sama setelah lima tahun belajar bersama dalam program pengajian jarak jauh di Universiti Sains Malaysia (USM).

Mereka yang mengikuti pengajian dalam bidang Antropologi dan Sosiologi dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) memang merancang untuk belajar bersama dan tidak menyangka dapat bergraduasi bersama walaupun isterinya ada mengambil cuti bersalin dalam tempoh lima tahun tersebut.

Rancangan untuk belajar bersama tercetus apabila rakan sejawat mereka telah bergraduasi dari USM dan mengikuti pengajian dalam bidang yang sama,” tambah Zambri.

“Sebelum menyambung pengajian, kami telah memikirkan beberapa faktor seperti pengurusan kewangan, penjagaan anak sulung yang pada ketika itu berumur 3 tahun dan juga tugasan seharian sebagai pegawai kerajaan,” kata Zambri yang agak tegas dengan isterinya apabila berbincang mengenai pelajaran.

“Apabila kami telah memikirkan faktor-faktor tersebut, alhamdulillah kami dapat mendepani pelbagai cabaran yang mendatang dengan hati yang terbuka dan dapat sama-sama mengatasi segala perit getir,” kata Zambri yang kini mempunyai dua orang anak berumur 8 tahun dan 5 tahun serta sedang menanti kelahiran bayi ketiga pada tahun hadapan.

Zambri dan isteri yang bekerja sebagai penguatkuasa penjara di Kluang, Johor banyak bertolak ansur dan berbincang dalam pelbagai perkara. Mereka juga menasihati para suami isteri yang ingin menyambung pelajaran supaya perlu banyak berbincang dan bersabar serta rasional dalam segala segi.

Zambri dan Norlia yang hadir ditemani ibu dan bapa adalah antara 672 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada Sidang Kelapan Upacara Konvokesyen ke-55 USM.

Teks: Siti Najihah Mustafa (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Nor Rafizah Md Zain