MAHAVITHIA MINAT MENGARANG SAJAK

20170905a

PULAU PINANG, 5 Sept 2017 – Pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) Mahavithia Arumugam minat mengarang sajak dalam Bahasa Malaysia sejak di bangku sekolah lagi.

Mahavithia yang buta sebelah mata sejak lahir dan kemudiannya mengalami kecacatan kedua-dua belah mata ketika berumur 11 tahun tekad meneruskan minatnya dalam bidang Sastera dan menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sastera di USM.

Anak kedua dari empat adik beradik ini memulakan pendidikan pada usia 11 tahun dalam darjah 4 di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma (Penglihatan) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Beliau kemudian menyambung pendidikan di Tingkatan 6 di Kolej Tinggi Ipoh Perak.

20170905b

“Saya bercita-cita menjadi seorang pendidik. Walaupun tidak dapat menyambung pengajian dalam bidang pendidikan, saya berazam untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana Pendidikan selepas tamat belajar di sini kelak,” kata Mahavithia di sidang media menyambut lebih 3,900 orang pelajar baharu di USM bagi Sidang Akademik 2017/2018 di sini hari ini.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa