USM DI KEDUDUKAN #264 DALAM QS-WUR: PENCAPAIAN TERBAIK DALAM TEMPOH LIMA TAHUN

20170608a

Senarai terkini QS World University Rankings (QS-WUR) 2017/2018 meletakkan Universiti Sains Malaysia (USM) pada kedudukan nombor #264. Ini adalah peningkatan yang besar (66 posisi) bagi pencapaian universiti di dalam senarai ini berbanding dengan tahun sebelumnya, di kedudukan nombor #330.

Kedudukan di dalam penyenaraian tahun ini adalah pencapaian terbaik bagi universiti ini dalam tempoh lima tahun kebelakangan, dengan peningkatan sebanyak 91 posisi sejak tahun 2014.

Di seluruh dunia, terdapat 26,000 buah universiti dan QS telah menyenaraikan 980 darinya. USM telah tersenarai di antara 27% teratas di dalam senarai QS-WUR sekaligus meletakkan USM dalam kalangan 1.0% universiti terbaik di dunia.

Enam indikator telah digunapakai bagi mengukur pencapaian tersebut, dengan 5 darinya menunjukkan peningkatan pencapaian, dan Reputasi Akademik (Academic Reputation) merupakan indikator tertinggi bagi universiti, dan tersenarai pada nombor #205 di peringkat global, berbanding dengan di nombor #248 dalam tahun sebelumnya.

Indikator lain yang juga menunjukkan peningkatan besar dalam penyenaraian adalah Reputasi Majikan (Employer Reputation), Nisbah Pelajar dan Fakulti (Student to Faculty Ratio), Fakulti Antarabangsa (International Faculty) dan Pelajar Antarabangsa (International Students).

20170608b

“USM telah membuat persediaan dalam mendepani ‘tsunami’ cabaran dengan mewujudkan anjakan dalam perancangan dengan mengambilkira perubahan global, terutamanya di dalam sektor pendidikan tinggi dengan 'belajar' bersama-sama dengan rakan akademik dan industri di peringkat tempatan dan global, dan melonjak ke hadapan secara terancang (by design) dalam memastikan matlamat kami tercapai,” kata Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail

“Kami melaksanakan strategi yang menggabungkan sudut ‘brain-business-humanity’ dalam menguruskan pelbagai aspek utama universiti, yang menghasilkan peningkatan di dalam penyenaraian kali ini. Ini adalah hasil sinergi di antara tiga sudut tersebut, objektif yang berbentuk ‘purpose-driven’, serta pematuhan kepada model pelaksanaan ‘Quadruple Helix’, yang memberi tumpuan kepada usahasama di antara lingkaran empat iaitu universiti-industri-kerajaan-komuniti. Pastinya, lingkaran sebegini disertai dengan program penyelidikan bersama akan mampu menghasilkan pelbagai pencapaian di samping menjadi pelengkap kepada reputasi academik dan majikan.”

“Tambahan pula, dengan melaksanakan pengurusan secara ‘evident-based’, USM telah berupaya memperkasakan lagi bidang-bidang tertentu yang berpotensi untuk berkembang ke arah mencapai tahap ‘par excellence’, dan seterusnya ke tahap platinum,” ujar beliau.

Asma juga menegaskan bahawa salah satu faktor signifikan terhasil dari nyalarasa dari pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah mengenalpasti pelbagai laluan dan kaedah baru bagi semua universiti sepeti yang diperjelaskan di dalam Pelan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025. Kaedah-kaedah atau pembolehcara ini telah memungkinkan semua universiti untuk memberi tumpuan khusus terhadap hal-hal berkaitan.

“Kami di USM sedar bahawa perubahan pastinya akan berlaku, dan akan terus berusaha untuk menyesuaikan segala strategi agar USM terus relevan, dihormati dan sebagai tempat rujukan. Kami sedar tentang keperluan untuk penambahbaikan bagi aspek reputasi akademik dan majikan, yang mampu dicapai dengan adanya peningkatan jumlah individu yang melaksanakan ‘peer-review’ dari bidang akademik juga dari sektor industri,” tambah beliau.

Merujuk kepada penurunan markah bagi indikator Petikan setiap Fakulti (Citations per Faculty), peningkatkan kuantiti dan kualiti hasil penerbitan serta bilangan penyelidik pasca-kedoktoran merupakan antara langkah-langkah yang memerlukan perhatian dan menjadi keutamaan pihak universiti.

Usaha lain termasuk memperbaiki pencapaian dengan meningkatkan bilangan kemasukan pelajar antarabangsa melalui pengambilan secara strategik pelajar dari luar negara, di samping menyediakan insentif kepada jabatan/pusat tanggungjawab terbabit dalam membimbing kumpulan pelajar berkenaan.

Akhir sekali, pihak universiti juga telah melaksanakan penilaian petunjuk prestasi utama (KPI) secara ‘cascading’ dari Naib Canselor hingga ke Ketua-ketua Jabatan demi memastikan pergerakan menaik bagi universiti, serta melantik pemegangtaruh dalam memantau pencapaian terbabit, dan pada masa yang sama melaksanakan sistem pemantauan berasaskan web dalam memastikan KPI sedemikian akan tercapai. Selain itu, sesi townhall juga akan dilaksanakan bagi menilai sebarang permasalahan berkaitan pelaksanaan bagi memudahkan pencapaian KPI.

Pencapaian sebegini menunjukkan segala usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak universiti beserta warganya telah membuahkan hasil, di samping mengambilkira cabaran global serta harapan dan aspirasi yang telah ditetapkan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Peningkatan yang telah dicapai dalam QS World University Rankings (QS-WUR) bagi 5 Universiti Penyelidikan (RU) di Malaysia membuktikan bahawa RU akan terus berperanan sebagai kumpulan universiti yang akan menerajui dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa di rantau Asia.

Sumber : www.usm.my