ELAKKAN DARI DIMASUKKAN DI BAWAH DASAR PEMISAH

20170426a

KUBANG KERIAN, 26 April 2017 - Semua kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada dimasukkan di bawah Dasar Pemisah.

Bercakap kepada lebih 800 orang kakitangan USM di sini, Pendaftar Profesor Dato' Dr. Abd Aziz Tajuddin berkata, walau pun mereka yang dibersarakan melalui dasar ini mendapat semua faedah kelayakan persaraannya, namun rekodnya adalah dicatatkan sebagai berprestasi rendah.

Dasar Pemisah adalah semata-mata berlandaskan prestasi bukan kerana perkara lain termasuk disiplin.

"Mereka yang menghadapi masalah disiplin seperti tidak datang kerja, menipu, meniru, mencuri dan sebagainya perlu diambil tindakan tata tertib, bukannya Dasar Pemisah yang tidak boleh dicampur adukkan," kata Abd Aziz.

Tambah beliau, mereka yang berprestasi hebat juga boleh ditamatkan kerana masalah disiplin.

Jelas beliau lagi, mereka yang menamatkan perkhidmatan dan dibersarakan melalui dasar pemisah mendapat segala faedah persaraan, namun rekodnya akan tercatat sebagai kakitangan yang prestasi rendah.

"USM tidak menggunakan penilaian berdasarkan KPI pada masa ini yang jika diguna akan memberi kesan besar kepada kakitangan namun LPP mempunyai elemen lain yang boleh diguna termasuk MyCPD.

Rasional Dasar Pemisah ialah untuk mengekalkan staf yang komited, meningkatkan daya saing dengan suasana dan cabaran yang berubah, mewujudkan perkhidmatan berprestasi tinggi dan mengguna pakai dasar kerajaan.

Menurut Abd Aziz, pada masa ini terdapat banyak cara untuk menamatkan perkhidmatan dengan universiti.

Yang pertama ialah bersara wajib. Tahun lalu 176 orang bersara wajib. Setiap tahun kira-kira 200 orang bersara wajib. Tahun ini sahaja 56 orang telah bersara wajib.

Cara kedua ialah bersara pilihan. Tahun lalu 88 orang bersara secara pilihan. Tahun ini sudah 51 orang bersara secara pilihan. Dua perkara akan disemak iaitu perundangan/ombudsman dan hutang dengan universiti.

Ketiga ialah bersara kesihatan (medical board). Tahun lalu hanya seorang yang bersara kerana kesihatan. Bersara pilihan dan bersara kesihatan akan dapat faedah persaraan.

Keempat ialah apabila berlaku kematian. Tahun lalu terdapat 10 orang kakitangan yang meninggal ketika dalam perkhidmatan. Tahun ini 2 orang kakitangan telah kembali ke Rahmatullah.

Kelima ialah meletak jawatan. Tahun lalu 63 orang dan tahun ini sudah 19 orang yang meletak jawatan dengan tidak mendapat apa-apa faedah.

Keenam, khidmat ditamatkan (tindakan disiplin). Pada tahun lalu seramai 19 orang dan tahun ini 7 orang kakitangan ditamatkan perkhidmatan. Mereka yang ditamatkan perkhidmatan kerana tindakan disiplin akan hilang segala faedah persaraan.

Yang ketujuh, dipinjamkan ke tempat lain.

Manakala yang kelapan ialah melalui Dasar Pemisah dengan markah LPP di bawah 60% menunjukkan prestasi rendah dan lemah.

"USM akan mengadakan kursus khas untuk penilai untuk memastikan penilaian dibuat secara objektif berdasarkan buku panduan sedia ada (buku merah)," kata Pendaftar.

Tambah beliau, penilaian LPP perlu dibuat mengikut prosedur yang ada dan mengubah paradigma terhadap SKT dan LPP yang perlu dilihat dengan teliti.

Kakitangan dalam percubaan dan belum disahkan jawatan dengan prestasi kurang dari 60 markah boleh ditamatkan perkhidmatan. Tahun lalu terdapat sekitar 20 orang kakitangan yang mendapat kurang dari 60 markah.

Tegas Abd Aziz, bukanlah mudah untuk seseorang staf dimasukkan di dalam Dasar Pemisah.

Mereka akan dirujuk ke Panel Pembangunan Sumber Manusia, Panel Penilaian Khas Staf Berprestasi Rendah untuk Gred 56 ke bawah dan panel lain yang mempertimbangkan dan mengesahkan mereka yang terlibat untuk masuk dasar ini.

Terdapat beberapa panel yang akan melihat, mengkaji dan meneliti mereka yang berprestasi rendah sebelum diperaku kepada LGU. Yang turut diteliti ialah prestasi mereka selama tiga tahun ke belakang.

Mereka yang masuk Dasar Pemisah diberi peluang setahun dan akan dirujuk kepada kaunselor yang dilantik oleh Universiti kecuali Pengurusan Tertinggi.

Beliau menasihatkan kakitangan agar menganggap kerja sebagai ibadah yang dilakukan dengan ikhlas akan mendapat pahala di akhirat.

"Pada akhirnya Allah swt menjadi penilai sebenar kita yang akan memberi balasan terhadap hal-hal yang orang mungkin tidak melihatnya," kata Abd Aziz.

Teks: Mohamad Abdullah