• BERITA
  • Artikel
  • KAKITANGAN USM DISERU SESUAIKAN DIRI, TINGKATKAN PRESTASI KERJA DALAM NORMA BAHARU

KAKITANGAN USM DISERU SESUAIKAN DIRI, TINGKATKAN PRESTASI KERJA DALAM NORMA BAHARU

20201221 01

USM, PULAU PINANG, 21 Disember 2020 – Kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) diseru supaya menyesuaikan diri dan mempertingkatkan prestasi kerja dalam suasana norma baharu bagi memastikan universiti sentiasa kekal bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Itulah harapan Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang inginkan warga kerja USM dari pelbagai peringkat sentiasa maju, bersaing secara sihat dan meningkatkan kemampuan penyampaian tugas melalui apa juga platform yang disediakan oleh universiti dalam keadaan norma baharu.

20201221 02

Kata beliau, atas sebab itu USM berusaha menyediakan pelbagai program dan kursus pembangunan kemahiran kerjaya supaya warga kerjanya berupaya menjadi kakitangan yang berbudaya kerja positif, berinovasi dan kreatif dalam aspek penyelesaian tugas secara strategik.

“Sudah semestinya cabaran yang dihadapi kini cukup tinggi apatah lagi kita berkhidmat di universiti dan saya yakin USM sentiasa mencari jalan untuk memastikan warga kerjanya sentiasa kreatif, inovatif dan lebih menonjolkan ciri-ciri kecemerlangan tugas dari setiap peringkat jawatan,” kata beliau ketika merasmikan Majlis Penyampaian Diploma Eksekutif dan Hadiah kepada Pemenang Konvensyen Inovatif & Kreatif USM.

20201221 03

Jelas beliau lagi, penyediaan program dan kursus sebegini oleh USM sebenarnya menuntut harapan besar kepada kakitangannya supaya lebih kompetitif dan lebih mampu untuk menggalas tanggungjawab dalam suasana baharu akibat pandemik COVID-19.

“Bahkan bukan sahaja perlu menjaga imej keseluruhan organisasi, tetapi warga kerja USM sebagai penjawat awam juga perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik dan diperlukan selari dengan keadaan persekitaran kerja masa kini,” kata Awang Adek lagi.

Beliau turut menyampaikan sijil Diploma Eksekutif kepada barisan kakitangan Pengurusan dan Profesional USM yang berjaya menamatkan kursus tersebut dan hadiah kepada pemenang-pemenang Konvensyen Inovatif & Kreatif (KIK) USM.

20201221 04

Selain mengucapkan tahniah buat penerima Diploma Eksekutif dan pemenang KIK, beliau juga berterima kasih kepada fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada kakitangan akademik dan bukan akademik atas sumbangan ilmu, kepakaran bidang dan perkongsian pengalaman bersama peserta di sepanjang berlangsungnya kedua-dua program Diploma Eksekutif tersebut.

“Saya berharap dengan ilmu baharu yang diterima itu para pegawai akan menjadi pemimpin yang lebih baik dan lebih cemerlang mungkin bukan dalam masa yang terdekat tetapi dalam sedikit masa akan datang ke arah melonjakkan USM menjadi universiti terunggul di negara ini,” kata beliau lagi.

20201221 05

Pada majlis yang sama, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, Pusat Transformasi Insan (PTI) telah melaksanakan inisiatif Administrative Outreach Programme (AOP) dengan peruntukan RM400,000 melibatkan 97 kakitangan pentadbiran yang mengikuti 11 program latihan dalam dan luar negara terpilih.

“AOP diharap membantu kakitangan pentadbiran yang mengikutinya mendapatkan pengalaman dan ilmu pengetahuan berkenaan perkembangan dan inovasi pentadbiran serta jaringan kerjasama untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan,” jelasnya.

20201221 06

Jelasnya lagi, pada masa yang sama, Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) pula berjaya melaksanakan Program Executive Diploma: Competency Based Human Resource Management secara 100% dalam talian selama 13 minggu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Program ini yang disertai oleh 14 kakitangan daripada pelbagai gred dan skim jawatan dari kumpulan Pengurusan dan Profesional, memberikan penumpuan kepada konsep dan pelaksanaan secara praktikal Competency Framework dalam pengurusan sumber manusia,” jelas Faisal Rafiq.

Selain itu, menurut Naib Canselor lagi, pelaksanaan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) secara norma baharu telah dilangsungkan dengan jayanya pada 10 November 2020 melalui aplikasi Webex melibatkan 4 kumpulan Kampus Kesihatan, 1 kumpulan Kampus Kejuruteraan dan 2 kumpulan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju.

20201221 07

Majlis petang ini diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Pendaftar USM, Dr. Musa Hj. Ali; Bendahari USM, Kamarul Ariffin Ngah; Pengarah PTi, Roslan Ismail; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, Mohd Azizudin Mohd Shariff; dan barisan fasilitator program Diploma Eksekutif.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa