• BERITA
  • Artikel
  • USM SEDIAKAN DANA DAN KEPAKARAN, PERKASA EKONOMI STAF B40 MELALUI PROGRAM KEUSAHAWANAN

USM SEDIAKAN DANA DAN KEPAKARAN, PERKASA EKONOMI STAF B40 MELALUI PROGRAM KEUSAHAWANAN

20201204 01

PULAU PINANG, 3 Disember 2020 – Agenda memperkasakan ekonomi golongan terkebawah (B40) terus digerakkan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kepakaran sedia ada apabila staf USM golongan B40 diberi peluang meningkatkan taraf hidup mereka dalam bidang keusahawanan.

Langkah progresif yang diambil oleh Jabatan Pendaftar USM ini telah direncana awal tahun 2020 yang turut mendapat sokongan penuh Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan melalui beberapa inisiatif khas yang disalurkan kepada golongan sasar tersebut.

20201204 02

Sumbangan inisiatif dan kepakaran dari pucuk pimpinan termasuk pelbagai pihak di USM ini sekaligus menunjukkan hasrat murni USM bagi membantu staf-stafnya yang berpendapatan rendah dan turut terjejas akibat pandemik COVID-19, untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Ketika ditemubual, Pegawai Perhubungan Staf, Jabatan Pendaftar USM, Zulkifli Che Hussin berkata, pihak Jabatan Pendaftar telah membuat penelitian dan pemilihan sewajarnya bagi mengenalpasti staf-staf kategori B40 yang benar-benar mempunyai minat dalam bidang keusahawanan.

“Pejabat Naib Canselor dan Jabatan Pendaftar telah menyediakan beberapa inisiatif keusahawanan yang akan diberikan kepada mereka yang dipilih, termasuklah menetapkan mentor di kalangan tenaga pakar melibatkan pensyarah, penyelidik dan pegawai di dalam universiti, dan akhirnya mengenalpasti apakah produk perniagaan yang bersesuaian buat peserta,” kata beliau.

Peserta mengikuti kursus keusahawanan

Tambah Zulkifli, peserta dipilih juga perlu mengikuti kursus wajib iaitu Kursus Keusahawanan selama tiga hari yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan HEBAT USM dengan mentor-mentornya yang terdiri dari kalangan pensyarah berpengalaman di Pusat Pengajian untuk membimbing dan melatih peserta.

20201204 03

“Contohnya penternakan ikan keli, kita mempunyai tenaga pakar iaitu Dr. Khalidah Abdul Hamid dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, yang sudi bekerjasama menyumbang kepakaran beliau mengajar dan menurunkan ilmu yang ada buat peserta, malah USM turut menyediakan kolam dan ruang tempat untuk para peserta memulakan penternakan ikan keli,” kata Zulkifli.

Jelas beliau lagi, sehingga kini USM telah menyediakan beberapa platform memulakan aktiviti keusahawanan buat peserta di ketiga-tiga kampus untuk mereka pilih dan ceburi berdasarkan minat mereka sendiri.

20201204 04

“Di kampus induk selain dari ternakan, kita juga menawarkan bimbingan bagi memulakan perniagaan madu kelulut, manakala di kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, telah ada tenaga pakar dan peserta yang melibatkan diri dalam ternakan ikan puyu dan tilapia, dan di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan pula terdapat khidmat bimbingan ternakan kambing biri-biri, ikan keli dan arnab,” kata beliau.

Peserta diberi suntikan dana dan bantuan kepakaran dalaman

Zulkfili menambah, idea ini juga cetusan dari Pendaftar USM sendiri, Dr. Hj. Musa Ali yang ingin memberi peluang kepada staf USM yang walaupun sudah mempunyai perniagaan kecil-kecilan, menceburi diri dengan diberi sedikit suntikan inisiatif dana dan kepakaran.

20201204 05

USM juga menyediakan kemudahan pinjaman mikro tanpa faedah kepada staf kategori B40 untuk memulakan perniagaan, dan daripada itu mereka mestilah menunjukkan perniagaan mereka itu membuahkan hasil kerana pihak USM sentiasa memantau aktiviti perniagaan yang dijalankan berdasarkan perjanjian yang telah dibuat.

20201204 06

Menurut Musa, inisiatif menjalankan projek ini sebenarnya mula dilaksana sebelum berlakunya pandemik lagi, dan kebetulan inisiatif ini berjalan seiring dengan keadaan yang melanda kini dan semestinya ia memberi impak yang amat besar pada staf-staf terlibat.

“Setakat ini, USM telah berbelanja RM60,000 melibatkan 45 orang staf B40 terpilih dari pelbagai jabatan, dan ia turut melibatkan kerjasama dan sokongan PTJ seperti Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar; Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM); Pejabat Perundangan Universiti; Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA); Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Haiwan (ARASC); Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA); pakar-pakar Pusat Pengajian dan sebagainya.

“Pada dasarnya, konsep yang digunakan ialah kepakaran universiti yang sedia ada dimanfaat dan disumbangkan kembali kepada staf yang memerlukan,” jelas beliau.

20201204 07

Bantu tingkatkan taraf hidup golongan B40

Jelas Musa lagi, cetusan inisiatif ini merupakan hasrat Naib Canselor sendiri yang mahukan pelbagai langkah diambil bagi membantu staf sendiri yang terkesan supaya mereka mampu meningkatkan pendapatan melalui program keusahawanan yang disediakan oleh USM.

“Semestinya langkah yang diambil ini berorientasikan kebajikan staf, bagaimana universiti membuka ruang kepakaran dimiliki untuk dimanfaatkan bersama buat warga kampus, seiring dengan agenda kerajaan untuk membangunkan sosio ekonomi golongan B40 di negara ini.

“Kita sedia maklum staf terbabit menetap di Pulau Pinang yang taraf hidup di sini amat tinggi dan terkesan dengan bebanan kewangan, maka inisiatif ini menepati hasrat universiti iaitu menyumbang bakti buat komuniti, kerana staf USM terpilih itu juga adalah komuniti di luar kampus yang berada dalam kategori yang sama,” kata beliau.

Walau bagaimanapun tegas Pendaftar, apa juga permohonan oleh staf berkelayakan untuk menceburi bidang ini perlulah mendapat kelulusan Ketua Jabatannya terlebih dahulu.

“Di dalam kursus yang wajib dihadiri oleh peserta, Pejabat Perundangan Universiti akan menegaskan beberapa perkara yang wajib dipatuhi oleh peserta sepanjang menjalankan aktiviti keusahawanan bagi memastikan mereka tidak leka dengan amanah dan tanggungjawab pada tugas hakiki di jabatan masing-masing,” jelas Musa.

Tambah beliau lagi, memandangkan sambutan terhadap program ini buat pertama kali dianjurkan adalah begitu baik sekali, persiapan awal sedang dibuat untuk menerima hampir 40 orang peserta baharu pada tahun 2021.

“Yang lebih menggembirakan ialah Naib Canselor turut meluluskan bajet inisiatif ini sekali lagi untuk tahun 2021,” katanya.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ihsan Unit Perhubungan Staf, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, USM