• BERITA
  • Artikel
  • USM ANJUR KONVENSYEN KIK NORMA BAHARU

USM ANJUR KONVENSYEN KIK NORMA BAHARU

USM PULAU PINANG, 13 November 2020 – Walaupun dalam suasana sekarang yang sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ia tidak menghalang Pusat Transformasi Insan (PTI), Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengambil inisiatif dengan menganjurkan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) USM 2020 yang buat julung kalinya dianjurkan secara norma baharu dengan tema "Melestari Inovasi Merealisasi Transformasi". 

Konvensyen yang diadakan secara dalam talian ini telah melibatkan semua kampus iaitu Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal; Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Bertam.

Menurut Pengarah PTI, Roslan Ismail, penganjuran Konvensyen KIK bertujuan untuk membudayakan inovasi dalam pentadbiran, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan pemantapan tadbir urus Pusat Tanggungjawab (PTJ) khasnya serta universiti secara amnya.

Selain itu, konvensyen ini juga menjadi platform kepada universiti untuk menilai dan memilih kumpulan KIK terbaik untuk mewakili USM ke Konvensyen KIK peringkat UA,” katanya.

drmusa 4

Terdahulu, Pendaftar USM Dr. Musa Ali dalam ucapannya berkata, elemen kecekapan dalam proses penyampaian perkhidmatan sangat penting lebih-lebih lagi bagi institusi pendidikan tinggi seperti USM yang senantiasa perlu mengadaptasi perubahan demi perubahan dalam konteks pendidikan alaf baru.

“Universiti amat menekankan aspek inovasi dalam penyampaian perkhidmatan dan konsep-konsep seperti 5S, Pengurusan Kejat, Strategi Lautan Biru dan sebagainya perlu dijadikan sebagai rujukan dan diterjemahkan oleh warganya dalam tugasan seharian.

“Selain itu, aspek automasi juga perlu diberi penekanan kerana proses kerja yang dahulunya panjang dan berlapis dapat disingkatkan melalui automasi sistem dan juga dengan bantuan teknologi maklumat,” ujarnya.

20201126 01

Musa mengharapkan melalui penganjuran Konvensyen KIK seumpama ini akan dapat menyemarakkan lagi budaya inovasi dan kerja berpasukan dalam kalangan warga universiti.

Secara keseluruhannya pada konvensyen kali ini sebanyak 7 kumpulan telah bertanding - 4 kumpulan bagi kategori teknikal manakala 3 kumpulan lagi adalah kategori pengurusan.

Juri profesional bagi konvensyen kali ini didatangkan khas daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Syabas dan tahniah kepada semua kumpulan yang telah mengambil bahagian dalam Konvensyen KIK USM 2020.

Keputusan rasmi adalah seperti berikut:

KATEGORI PENGURUSAN

Johan: Kumpulan Iftinan, Hospital USM

Naib Johan: Kumpulan Dito, IPPT

KATEGORI TEKNIKAL

Johan: Kumpulan Rehab Shine, Hospital USM

Naib Johan: Kumpulan Fast, IPPT

PERSEMBAHAN TERBAIK

Kumpulan Fast, IPPT

POSTER TERBAIK

Kumpulan Iftinan, Hospital USM

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid/Foto: Farizi Hafiz Ramli