• BERITA
  • Artikel
  • DAFTAR PANDU LALU USM AMBIL MASA HANYA TIGA MINIT

DAFTAR PANDU LALU USM AMBIL MASA HANYA TIGA MINIT

PULAU PINANG, 2 Oktober 2020 - Proses pendaftaran secara pandu lalu bagi pelajar baharu yang julung kali diperkenalkan di Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil masa hanya tiga (3) minit.

20201002 01

Tempoh masa itu merangkumi semua proses termasuk saringan kesihatan, MyDaftar melalui imbasan kod QR (kurang dari 5 saat), taklimat ringkas pembelajaran secara online sehinggalah ke urusan akhir menurunkan barang-barang di desasiswa.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah, USM mengambil inisiatif pandu lalu selaras dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.

20201002 02

"USM cuba mengambil jalan terbaik dalam keadaan negara kembali berdepan dengan gelombang COVID-19 yang agak membimbangkan dan cuba menyesuaikannya dengan langkah-langkah proaktif yang dapat memudahkan semua pihak.

"USM turut memperkenalkan MyDaftar iaitu satu sistem pendaftaran dalam talian yang hanya mengambil masa kurang 5 saat. Ia satu sistem yang sangat inovatif dan pertama kali diperkenalkan di USM," katanya.

Beliau ditemui ketika turun padang memantau keadaan semasa proses pendaftaran pelajar baharu USM sidang akademik 2020/2021 di sini pagi ini.

Terdahulu, USM telah mengambil langkah drastik mengubah pelan asal untuk semua pelajar baharu mendaftar secara bersemuka kepada pendaftaran dalam talian berkuatkuasa semalam.

USM terdahulu telah mengeluarkan hebahan yang menyarankan semua pelajar baharu dan senior untuk mendaftar secara dalam talian dan menangguhkan perjalanan ke USM.

Pun begitu, pelajar-pelajar baharu yang sudah dalam perjalanan ke kampus dibenarkan mendaftar dengan diberikan tiga pilihan utama.

20201002 03

Pilihan berkenaan adalah pelajar dibenarkan mendaftar dan terus mengikut waris pulang ke rumah; mendaftar, meletakkan barangan di asrama dan pulang, dan terakhir, mendaftar dan terus tinggal di asrama.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang turut mengadakan tinjauan bagi proses kemasukan hari ini menyifatkan proses yang dilaksanakan amat teratur dan beliau berpuas hati dengan semua petugas yang memberi komitmen tinggi serta mematuhi SOP bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19.

Sesi pagi hari pertama pendaftaran ini telah menyaksikan lebih 200 orang pelajar baharu telah mendaftar diri ke USM.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Shahnizam Ab. Rahim/Nor Amin Zainal Kamaruddin/Ebrahim Abdul Manan