• BERITA
  • Artikel
  • KAMARUL ARIFFIN NGAH DILANTIK BENDAHARI BAHARU USM

KAMARUL ARIFFIN NGAH DILANTIK BENDAHARI BAHARU USM

20200724

PULAU PINANG, 23 Julai 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) melantik Kamarul Ariffin Ngah sebagai Bendahari USM yang baharu, berkuatkuasa 22 Julai 2020 untuk tempoh 2 tahun.

Kamarul Ariffin, 49, menggantikan Timbalan Bendahari Kanan USM, Zanita Zakaria yang memangku tugas Bendahari sebelum ini.

Beliau telah diperkenalkan secara rasmi kepada pihak pengurusan tinggi dan ketua-ketua jabatan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hari ini dalam sesi perjumpaan Naib Canselor dengan ketua-ketua jabatan Universiti.

Menurut Naib Canselor, pelantikan itu berdasarkan pengalaman kerjaya beliau yang melebihi 23 tahun, dan kepakaran penasihatan (consultation and advisory) serta jaringan ekstensif dan pencapaian beliau ketika memegang beberapa jawatan penting dalam pengurusan dan perancangan strategik, governans korporat, pelaburan dan kewangan bersama pihak kerajaan (Kementerian Kewangan Malaysia) dan swasta, sama ada di peringkat nasional mahu pun antarabangsa.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia pada tahun 1995 dan mendapat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Perancangan Strategik dari Heriot-Watt University UK pada 2015.

Dari segi keahlian badan profesional, beliau ialah Akauntan Bertauliah dengan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sejak 2007 dan juga Akauntan Bertauliah dengan Malaysian Institute of Accountants (MIA) sejak 1999.

Semoga seluruh warga USM dapat memberikan kerjasama yang optimum dan sokongan yang sepenuhnya kepada beliau dalam meneruskan kesinambungan tugas dan meningkatkan usaha ke arah kecemerlangan Universiti secara keseluruhannya, khususnya dalam merangka strategi dan penambahbaikan bagi hal-hal kewangan universiti ke arah penjanaan sumber pendapatan dan pencapaian kelestarian kewangan.

Tahniah dan syabas sekali lagi kepada Kamarul Ariffin Ngah!

Teks: Tan Ewe Hoe