• BERITA
  • Artikel
  • TUANKU RAJA PERLIS BERKENAN TERIMA MENGADAP DELEGASI USM

TUANKU RAJA PERLIS BERKENAN TERIMA MENGADAP DELEGASI USM

ARAU, 15 Julai 2020 – Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail merangkap Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkenan menerima kunjungan mengadap oleh delegasi USM di Istana Arau, di sini kelmarin.

Delegasi USM diketuai oleh Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU) yang baharu dilantik, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pendaftar Dr. Musa Ali.

20200715 01

Pada sesi tersebut, selain baginda diperkenalkan kepada Pengerusi LGU yang baharu dilantik dan Naib Canselor, baginda turut disembah maklum mengenai bagaimana USM menangani hal-ehwal universiti ketika mendepani krisis wabak koronavirus Covid-19 yang melanda negara demi menjaga keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan warga kampus.

Di akhir sesi kunjung mengadap itu, pihak USM telah mengadakan acara memotong kek untuk meraikan Hari Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis Yang Ke-77.

20200715 02

Seluruh warga USM turut merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan Dirgahayu Tuanku di atas Hari Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis Yang Ke-77 pada 17 Julai 2020 dan memohon kehadrat Allah SWT agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berada dalam rahmat kesihatan dan kesejahteraan.

20200715 03

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Ebrahim Abdul Manan