• BERITA
  • Artikel
  • PENGERUSI LGU BAHARU HADIR LAWATAN KERJA PERTAMA DI USM

PENGERUSI LGU BAHARU HADIR LAWATAN KERJA PERTAMA DI USM

USM PULAU PINANG, 12 Jun 2020 – Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Dr. Awang Adek Hussin hari ini hadir ke USM bagi mengadakan sesi lawatan kerja pertama beliau di USM selepas dilantik ke jawatan tersebut pada 8 Jun yang lalu.

Beliau yang dilantik untuk tempoh tiga tahun (8 Jun 2020-7 Jun 2023) hadir di Bangunan Canselori sekitar jam 9.30 pagi disambut oleh barisan pengurusan tertinggi USM diketuai oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pendaftar USM, Dr. Musa Ali.

20200612 01

Pada sesi lawatan tersebut, Awang Adek mengadakan perjumpaan bersama Naib Canselor dan barisan pengurusan tertinggi USM di Bilik Persidangan Canselori di sini. Naib Canselor turut menyampaikan taklimat berhubung dengan profil universiti serta prestasi dan pencapaian keseluruhan USM kepada beliau.

Pada sesi tersebut juga, beliau berharap dengan tanggungjawab yang digalas itu beliau dapat membantu meningkatkan imej, kemampuan dan daya saing USM sebagai salah satu universiti terbaik di peringkat kebangsaan dan seterusnya global.

“Sudah semestinya dengan kepakaran dan pengalaman yang saya miliki sepanjang berkhidmat di sektor kerajaan dan korporat selama lebih 35 tahun akan saya curahkan kepada USM demi pembangunan universiti ini ke tahap yang diinginkan,” katanya.

Beliau yang pernah memulakan kariernya di USM sebagai Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM (1983-1985) dalam bidang ekonomi dan turut berpengalaman luas dalam bidang kewangan termasuk menyandang jawatan sebagai Penolong Gabenor Bank Negara (1996-2001), cukup ditagih oleh USM bagi membantu meningkatkan kualiti pentadbiran kewangan, pendidikan dan penyelidikan serta penyampaian yang lebih dinamik.

20200612 02

“Pada masa yang sama, kita akan memperbanyakkan lagi perkongsian ilmu dan kepakaran oleh tenaga pakar yang saya kenali untuk dibawa ke USM bagi bersama-sama kita memperoleh manfaat bagi tujuan pembangunan universiti secara holistik,” jelas beliau lagi.

Selain itu, Faisal Rafiq mengalu-alukan kehadiran Pengerusi LGU yang baharu ke dalam keluarga besar USM dan semestinya mengharapkan kepimpinan beliau yang berpengalaman luas di pelbagai sektor kerajaan dan korporat mampu memberi impak positif buat USM meneruskan legasi kejayaan di masa akan datang.

“Sudah pastinya pihak pengurusan tertinggi USM amat menanti-nantikan kepakaran dan cetusan idea Dato’ Dr. Awang Adek Hussin yang cukup berpengalaman dalam sektor korporat terutamanya bidang kewangan, dan ini semestinya mampu meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan USM buat kumpulan sasar seperti yang diharapkan,” katanya.

Di akhir sesi lawatan tersebut, Awang Adek turut sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Malik Khalid USM bersama pengurusan tertinggi universiti.

20200612 03

Pada sebelah petangnya, beliau berkesempatan melawat Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, tempat bermulanya kerjaya beliau sebagai Pensyarah di sini.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Shahnizam Ab Rahim