• BERITA
  • Artikel
  • STAF DIMINTA TERUS BEKERJA DARI RUMAH SEPANJANG PKPB

STAF DIMINTA TERUS BEKERJA DARI RUMAH SEPANJANG PKPB

USM PULAU PINANG, 1 Mei 2020 – Selaras dengan perkembangan terkini tentang keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari Isnin ini, 4 Mei 2020, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil keputusan untuk mengekalkan arahan Bekerja Dari Rumah (Work From Home) untuk staf-staf akademik dan bukan akademiknya di kesemua kampusnya.

20200501 01

Mengikut kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini khas buat staf USM oleh Pendaftar USM, Dr. Musa Ali, Universiti akan terus mengamalkan pengehadan pergerakan staf ke kampus sepanjang tempoh PKPB berkuatkuasa, kecuali staf yang bertugas di barisan hadapan dan terlibat secara langsung dengan perkhidmatan kritikal universiti.

Justeru, Ketua-ketua Jabatan (PTJ) diperingatkan untuk memastikan hanya staf yang benar-benar perlu sahaja diberikan kebenaran hadir bertugas ke pejabat dan memastikan staf sentiasa mematuhi prosedur operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan universiti.

Ketua-ketua Jabatan turut dipohon untuk sentiasa memberi perhatian tentang hebahan SOP Kemasukan Pelajar/Staf Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) USM yang dikemaskini dari semasa ke semasa.

Semua staf juga dikehendaki untuk mengikuti perkembangan dan maklumat terkini yang dihebahkan melalui Laman Web Rasmi USM, emel dan Facebook USM dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Pendaftar turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Pekerja 2020’ kepada semua warga staf USM, serta menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan khususnya kepada staf-staf di barisan hadapan yang telah bertugas dengan penuh semangat dan komitmen dalam membantu membendung penularan wabak COVID-19 sejak dari awal pelaksanaan PKP lagi.

“Pihak universiti amat menghargai segala risiko yang diambil berdepan dengan sesuatu yang cukup asing (wabak COVID-19) dan pengorbanan yang dipamerkan oleh staf di barisan hadapan dalam usaha menjalankan tugas dan tanggung jawab masing-masing sebaik mungkin di sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.

YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman rasmi pada hari ini, bahawa bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Keputusan itu diambil pihak kerajaan sebagai langkah untuk memulihkan ekonomi negara dan akan dilaksanakan secara berhati-hati dengan penguatkuasaan SOP kesihatan yang ketat.

Namun demikian, buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum boleh dibuka, malah pihak kerajaan menggalakkan kakitangan awam untuk terus bekerja dari rumah sebagai cara kerja baharu atau norma baharu (new normal) pekerjaan dalam keadaan kita sedang menangani wabak COVID-19.

Teks: Tan Ewe Hoe/Infografik: Muhammad Indera Azhar @ Ishak