• BERITA
  • Artikel
  • USM FOKUS TRANSFORMASI MAHASISWA MENJADI GRADUAN DENGAN KEBOLEHPASARAN KERJA YANG TINGGI

USM FOKUS TRANSFORMASI MAHASISWA MENJADI GRADUAN DENGAN KEBOLEHPASARAN KERJA YANG TINGGI

SEBERANG JAYA, 11 Mac 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa menitikberatkan pembangunan dan transformasi mahasiswanya dalam usaha menjadikan mereka graduan yang mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi melalui pelbagai program latihan, persediaan kemahiran dan bakat agar mereka bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja yang semakin kompetitif masa kini.

Itu tegas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah yang menyatakan bahawa USM sentiasa berusaha menyediakan pendidikan buat mahasiswa seiring dengan kemahiran dan pembangunan bakat yang diperlukan di pasaran kerja kelak kerana USM amat percaya bahawa inovasi pendidikan tinggi adalah penting dalam mentransformasi mahasiswa menjadi graduan yang boleh bekerja.

20200311 01

Jelas Aldrin, pendidikan tinggi sekarang berusaha menyediakan mahasiswa sebagai produk akhir yang berguna untuk kerjaya atau pekerjaan masa depan dan ini merupakan matlamat utama USM bagi melengkapkan mahasiwa dengan modul, kemahiran dan tingkah laku yang diperlukan dalam pasaran kerja apabila bergraduasi kelak.

"Pada masa yang sama selain usaha USM terhadap perkara tersebut, mahasiswa juga sepatutnya bijak menghadapi perubahan dan dapat menangani cabaran masa hadapan melalui peningkatan kemahiran berfikir secara kritis, kemahiran berkomunikasi, dan juga mencetuskan idea kreatif dalam menangani perubahan dan cabaran dalam kerjaya kelak," katanya ketika hadir mewakili Naib Canselor meraikan majlis makan malam Sekretariat Penganjuran Career Fair 2020 bersama wakil industri di Ixora Hotel Perai di sini.

Tambah beliau lagi, USM berharap mahasiswa dapat memahami, menghayati dan memanfaatkan agenda graduan H.E.B.A.T (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate and Thinking) dan O.B.E. (Outcome Based Education) untuk melengkapkan diri dengan kemahiran semasa dan relevan buat pasaran kerja di masa hadapan.

"Kita bersyukur melalui pelbagai usaha dilakukan, pada tahun 2019, kadar kebolehpasaran graduan USM adalah sebanyak 90.4%, dan USM percaya pemain industri yang hadir menjayakan Career Fair USM saban tahun memainkan peranan penting dalam pencapaian ini," katanya lagi.

Pada majlis yang sama, Aldrin turut menyampaikan penghargaan kepada Penaja Platinum buat kali kedua berturut-turut Micron Semiconductor (M) Sdn. Bhd., Penaja Emas iaitu Western Digital, Hotayi Electronic (M) Sdn. Bhd., Greatech Integration (M) Sdn. Bhd. dan Nexperia Malaysia yang sudi menjayakan Career Fair USM 2020 yang berlangsung selama dua hari bermula 11-12 Mac 2020 di Dewan Utama, USM Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Yang turut hadir adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM merangkap Penasihat Career Fair USM 2020, Profesor Ir. Dr. Mohd Fadzil Ain; Pengarah Projek Career Fair USM 2020, Albert Wong Jia Hui; pegawai-pegawai utama universiti dan wakil-wakil industri.

20200311 02

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Shahnizam Ab Rahim