• BERITA
  • Artikel
  • PENTINGNYA MAHASISWA DAN STAF BERSATU HATI BANGUNKAN USM, KATA NC

PENTINGNYA MAHASISWA DAN STAF BERSATU HATI BANGUNKAN USM, KATA NC

20191204 01

USM PULAU PINANG, 4 Disember 2019 – Kerjasama yang erat dan bekerja dalam satu pasukan merupakan asas kepada kejayaan sesebuah organisasi dan atas sebab itu betapa pentingnya di Universiti Sains Malaysia (USM) tonggak kepimpinan pelajar dan staf sentiasa saling bersatu hati bagi menempuh apa juga cabaran yang dihadapi demi menggapai kejayaan buat universiti.

Itu harapan Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang amat mengharapkan mahasiswa terutamanya barisan kepimpinannya sentiasa berganding bahu dan membantu pentabdiran universiti bagi memastikan kualiti perkhidmatan dan penyampaian universiti berada pada tahap terbaik.

20191204 02

“Peranan kepimpinan pelajar bukan sahaja menegakkan apa yang dikehendaki semata-mata, malah skopnya lebih luas dan salah satunya dengan kepakaran dan idea segar yang dimiliki dapat membantu mengenalpasti aspek-aspek kekurangan universiti untuk diperbaiki dari semasa ke semasa,” ucapnya ketika hadir di Majlis Penyerahan Watikah dan Lafaz Ikrar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM bagi Sidang Akademik 2019/2020.

Tambah beliau lagi, peranan dan tanggungjawab kepimpinan mahasiswa sekarang ini lebih mencabar untuk digalas, apatah lagi dengan keadaan ekonomi kini yang tidak stabil membawa kepada peningkatan jumlah pelajar di bawah kelompok B40 yang bertungkus lumus menjalani kehidupan di dalam kampus, untuk kita bantu sebaiknya.

20191204 03

“Selain itu saya turut berharap segala idea mahupun permasalahan haruslah disalurkan kepada saluran yang betul di universiti dan pastinya saya yakin kepimpinan mahasiswa kali ini cukup dewasa dan matang pemikirannya bagi berganding bahu bersama warga pengurusan universiti untuk membawa USM kepada kejayaan demi kejayaan di masa mendatang,” katanya lagi.

20191204 04

Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan watikah kepada 37 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar baharu kampus Induk dan kampus Kejuruteraan yang diketuai oleh Yang di-Pertua MPPUSM Sidang Akademik 2019/2020, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri.

Yang turut hadir ke majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Mohamad Abdullah; Dekan-Dekan Pusat Pengajian dan pegawai-pegawai utama universiti.

Antara barisan kepimpinan pelajar baharu MPPUSM Sidang Akademik 2019/2020:

YANG DI-PERTUA
Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri

SETIAUSAHA AGUNG
Siti Hajar Bahar

NAIB YANG DIPERTUA
Spencer Chieng Kuan Hock

NAIB YANG DIPERTUA 2
Ahmad Naim Mohamed Salleh

NAIB YANG DIPERTUA 3
Adam Malik Abd Malek

SETIAUSAHA KERJA
Mohamad Alif Hamzah

BENDAHARI
Ng Shu Qi

TIMBALAN BENDAHARI
Nur Aliya Mohd Suhaimi

PENGERUSI IPS
Yaganes A/L Sukamaran

KAMPUS KEJURUTERAAN

NAIB YANG DIPERTUA
Kamal Safwan Jamaludin

NAIB YANG DIPERTUA
Johan Abdul Rahim

SETIAUSAHA
Yashwini A/P Thamil Selvam

BENDAHARI
Farah Zahidah Abd Halim