• BERITA
  • Artikel
  • DUA AHLI AKADEMIK USM TERIMA AAN KE-13

DUA AHLI AKADEMIK USM TERIMA AAN KE-13

20191029a

SERI KEMBANGAN, SELANGOR, 29 Oktober 2019 – Dua ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu pensyarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) Profesor Madya Dr. Oon Chern Ein dan pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri Profesor Datuk Dr. Abdul Khalil HP Shawkataly menerima Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-13 dalam kategori masing-masing, yang berlangsung di sini sebentar tadi.

20191029b

20191029c

Chern Ein meraih Anugerah Ahli Akademik Harapan manakala Abdul Khalil menerima Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains).

Penerima anugerah membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, sijil dan trofi.

Kedua-dua mereka adalah antara sembilan orang penerima anugerah bagi tujuh kategori termasuk Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk dan Anugerah Seni dan Kreativiti.

Anugerah Tokoh Akademik Negara telah dinobatkan kepada ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid.

20191029d

Anugerah telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Teo Nie Ching dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.

AAN yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, KPM bertujuan memberikan sanjungan dan pengiktirafan tertinggi kepada para sarjana di Institut Pendidikan Tinggi Malaysia yang telah banyak memberikan sumbangan dalam bidang pemindahan dan pengembangan ilmu pada peringkat kebangsaan dan global.

20191029e

AAN mula diperkenalkan pada tahun 2006, dan pengiktirafan ini juga merupakan manifestasi keprihatinan dan komitmen KPM dalam memartabatkan pendidikan tinggi Malaysia.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Mohd Fairus Md. Isa