• BERITA
  • Artikel
  • LAMBAT MENYERLAH NAMUN BERAKHIR HEBAT: DUA PENERIMA ANUGERAH KHAS UPACARA KONVOKESYEN KE-57 KONGSI 10 TIPS KEJAYAAN

LAMBAT MENYERLAH NAMUN BERAKHIR HEBAT: DUA PENERIMA ANUGERAH KHAS UPACARA KONVOKESYEN KE-57 KONGSI 10 TIPS KEJAYAAN

20191024a

PULAU PINANG, 22 Oktober 2019 – Berpeluang mengenali dua anak muda hebat yang mengungguli Anugerah Pelajaran Diraja Oleh Majlis Raja-Raja Malaysia sempena Upacara Konvokesyen ke-57 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini membuka minda mengenai erti perjuangan dalam rencah kehidupan.

Kedua-dua mereka, Muhammad Syahdad Naquiyuddin Hadi bin Suhardi, 24 dan Alexander Tan Wai Teng, 24, sudah semestinya mempunyai rahsia tersendiri dalam mengecap kejayaan.

Masakan tidak, kedua-dua mereka yang mesra disapa dengan panggilan Syahdat dan Alex bukan calang-calang graduan kerana bukan sekadar mempunyai kredibiliti tinggi dalam pencapaian akademik, malah aktif dalam pelbagai lapangan di luar bilik kuliah.

Namun, itu bukanlah topik utama yang ingin dikongsi, sebaliknya yang menarik mengenai dua figura ini adalah tahap kepercayaan mereka kepada kemampuan diri sendiri dan didorong rasa ingin melakukan sesuatu yang luar biasa.

20191024b

20191024c

Syahdat dan Alex mengakui, mereka bukanlah pelajar cemerlang sejak dari awal persekolahan. Malah, kedua-duanya pernah gagal dalam peperiksaan di peringkat sekolah, selain bukan ditempatkan dalam kalangan pelajar cemerlang di kelas pertama.

Pun begitu, benar kata pepatah, gagal sekali bukan bererti gagal selamanya. Atas dasar cintakan ilmu dan berpeluang menjejakkan kaki ke salah sebuah menara ilmu yang tersohor di negara ini, mereka bangkit tanpa menoleh.

Tips yang dikongsikan mereka dalam menjadi antara yang terbilang ini boleh dijadikan panduan untuk mana-mana pelajar yang mungkin sedang dilanda dilema memikirkan masa depan. Bangkit dan berusahalah kerana bak kata mereka, biar lambat asal cemerlang.

20191024d

10 tips bergelar pelajar HEBAT.

1. Selalulah berkongsi kerana ilmu itu cahaya, kalau dikongsi nescaya hidup berkat.

2. Sentiasa permudahkan urusan orang lain, hidup kita akan dipermudahkan.

3. Kena ekstra rajin, walau sesibuk mana sekalipun, mesti cari masa untuk belajar.

4. Curi dan cari peluang, untuk menjadi pelajar all rounder, kekangan masa adalah cabaran utama. Kebiasaannya tak cukup masa untuk ulangkaji dan buat tugasan atau terlepas kuliah. Namun perlu cari alternatif untuk bertanya kepada rakan dan pensyarah supaya sentiasa keep on track terhadap silibus.

5. Hidup ketika di universiti kena ENJOY, waktu belajar perlu fokus sehabis baik, waktu bermain perlu bermain sepuas-puasnya, itulah dinamakan ‘LIFE’.

6. Jangan sesekali lupa orang-orang di sekeliling khususnya ibu bapa; tanpa mereka kita tidak akan berjaya.

7. Jangan pernah berasa puas, selalu keluar dari zon selesa, mampu atau tidak, cuba dahulu, cabar diri tanpa fikir terlalu panjang.

8. Jangan takut gagal, kerana dari kegagalan akan timbul kekuatan.

9. Jangan lupa punca semangat kita, ibu bapa dan keluarga. Mereka mengharapkan sesuatu daripada kita, kalau rasa down, kenang kembali ibu bapa dan tujuan kita di universiti.

10. Jangan takut untuk explore, pedulikan apa orang kata, kita teroka kemampuan hidup kita, setakat mana kita boleh; kita buat, kalau tidak mampu, jangan paksa diri nanti terseksa.

Yang paling penting kata mereka, STAY HUMBLE kerana walau tinggi melangit pun kita, kita bukanlah siapa-siapa jika tiada orang yang hormat. Kalau kita meninggi diri, sehebat mana pun pencapaian kita, orang tidak akan respect.

Paling penting, terus mencuba melakukan perubahan kerana adakalanya benda yang paling kita takut itu, itulah kekuatan kita. Kita tidak akan tahu selagi kita tidak MENCUBA.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md. Isa