• BERITA
  • Artikel
  • KETUA PENGARAH GIACC SAMPAIKAN SYARAHAN PERDANA DAN PANELIS FORUM INTEGRITI DI USM

KETUA PENGARAH GIACC SAMPAIKAN SYARAHAN PERDANA DAN PANELIS FORUM INTEGRITI DI USM

20191016

USM PULAU PINANG, 14 Oktober 2019 – Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamad berkongsi pengalaman dengan warga kampus Universiti Sains Malaysia (USM) melalui syarahan perdana sempena Hari Integriti peringkat USM 2019 di sini hari ini.

Beliau yang terkenal sebagai salah seorang fighter pencegahan rasuah di Malaysia itu adalah antara tetamu jemputan yang dibawakan khas ke USM bagi menyemarakkan semangat warga Universiti agar lebih berintegriti dan mengamalkan ciri-ciri keperibadian yang tinggi dalam urusan harian yang dilakukan.

Selain syarahan perdana, turut dimuatkan dalam program berkenaan adalah forum khas bertajuk "Impak dan Implikasi Rasuah Terhadap Negara" yang dibarisi panelis terkemuka termasuk Pengarah SPRM Pulau Pinang, Dato' Wan Ramli Wan Abdullah; Mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Sri Hj Zakaria Jaffar dan Dato' Hajjah Sutinah Sutan, dengan Penasihat Undang-undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi sebagai moderatornya.

Kedua-dua wacana ilmu ini mengupas isu berhubung persoalan integriti penjawat awam serta formula untuk mengatasinya, seiring dengan hasrat Kerajaan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan penjawat awam mengenai keperluan dan kepentingan membina nilai-nilai murni, berintegriti dan budaya menolak rasuah dan “duit kopi”.

USM juga melalui Unit Integriti telah mengambil pelbagai inisiatif seperti Program Rakan Integriti Universiti, Ikrar Bebas Rasuah, Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), penganjuran kursus dan taklimat pengukuhan integriti dan nilai-nilai murni, situasi konflik kepentingan (conflict of interest) serta membuat hebahan mengenai amalan berintegriti melalui emel dan portal Universiti secara berterusan.

Semua usaha yang dilakukan adalah antara langkah pro-aktif untuk memantapkan integriti, menjauhkan sikap salah guna kuasa dan anti-rasuah bagi memastikan penjawat Universiti menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti ke arah mencapai sistem penyampaian perkhidmatan Universiti dan Awam yang lebih cemerlang dan berdaya saing tinggi.

Antara yang turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, pengurusan tinggi universiti, pegawai-pegawai kanan SPRM, dan ahli-ahli Persatuan Bekas Pegawai SPRM.

Teks: Marziana Mohamed Alias