• BERITA
  • Artikel
  • BANTERAS JENAYAH RASUAH, TINGKATKAN INTEGRITI DALAM KALANGAN PENJAWAT UNIVERSITI

BANTERAS JENAYAH RASUAH, TINGKATKAN INTEGRITI DALAM KALANGAN PENJAWAT UNIVERSITI

20191015

USM PULAU PINANG, 14 Oktober 2019 – “Usaha pencegahan rasuah telah mula dilaksanakan dari tahun 2004 lagi. Ini berikutan hasil kajian yang telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tahun 2003, yang menyatakan bahawa generasi muda/graduan sanggup untuk terlibat dengan rasuah sekiranya berpeluang dan tanpa penguatkuasaan berkesan.”

Demikian sebahagian isi Syarahan Perdana oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamad, Ketua Pengarah, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Ucapan beliau membuka tirai sesi perbincangan sempena program Hari Integriti Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan pada hari ini.

Tajuk syarahan beliau, “Jenayah Rasuah: Sejarah dan Cabaran” menyentuh tentang bagaimana Malaysia, yang dahulunya tersenarai antara negara berintegriti tinggi (hasil laporan Transparency International 1996) telah jatuh dari kedudukan yang tinggi hingga kini, berikutan pelbagai isu yang membabitkan pecah amanah dan rasuah di pelbagai peringkat.

Tambah Abu Kassim lagi, rasuah lazimnya bermula apabila ada pihak yang bersifat tamak dan ada juga yang takut untuk melaporkan salahlaku tersebut.

“Terdapat 6 badan institusi yang berkecenderungan untuk terlibat dengan rasuah iaitu: perundangan dan kehakiman, tadbir sektor awam, tadbir sektor politik, tadbir sektor korporat, perolehan awam dan penguatkuasaan.

“Sebanyak 115 inisiatif telah dikenalpasti dalam usaha menangani rasuah. Saya akui usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Amalan rasuah sudah diamalkan di serata dunia sejak sekian lama,” katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan, peranan ketua sesebuah jabatan atau organisasi amat penting dalam memberi penekanan terhadap nilai-nilai positif serta memastikan amalan rasuah dapat dibanteras selain meningkatkan integriti dalam kalangan staf.

Program ini dianjurkan secara bersama oleh Unit Integriti USM, SPRM, Alumni Bekas Pegawai SPRM dan Yayasan Pencegahan Anti-Rasuah.

Turut dimuatkan ialah Forum Hari Integriti Peringkat USM, yang disertai 3 panelis dan membincangkan tajuk “Impak dan Implikasi Rasuah Terhadap Negara”.

Program ini turut disertai oleh Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Timbalan-timbalan Naib Canselor; pegawai-pegawai kanan SPRM, pegawai-pegawai utama universiti, staf serta para pelajar, dengan hadirin memenuhi seluruh ruang Dewan Budaya, USM.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin