• BERITA
  • Artikel
  • PENGERUSI LGU DAN NAIB CANSELOR BERBUKA PUASA BERSAMA LEBIH 2,500 WARGA USM

PENGERUSI LGU DAN NAIB CANSELOR BERBUKA PUASA BERSAMA LEBIH 2,500 WARGA USM

20190609c

USM, PULAU PINANG, 16 Mei 2019 – Lebih 2,500 warga kampus Universiti Sains Malaysia (USM) berbuka puasa bersama barisan pimpinan tertinggi USM di majlis Iftar Perdana USM 2019 di perkarangan Masjid Al-Malik Khalid USM di sini hari ini.

Antara barisan pimpinan tertinggi USM yang hadir ialah Pengerusi Lembaga Gabenor, Dr. Hari Narayanan P. Ondiveeran; Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Asma Ismail bersama suami; Ahli-ahli Lembaga Gabenor Universiti; Timbalan-timbalan Naib Canselor; ketua-ketua jabatan serta tetamu jemputan khas universiti.

Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman berkata, sambutan pada tahun ini lebih bermakna dan meriah lagi kerana diadakan dalam suasana USM menyambut ulang tahunnya yang ke-50 pada tahun ini.

20190609b

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, matlamat majlis ini diadakan adalah untuk memupuk semangat kekeluargaan dan kekitaan dalam kalangan warga USM serta masyarakat sekitar sekaligus membuka peluang untuk warga USM berbuka puasa bersama-sama dengan barisan pimpinan dan pengurusan tertinggi USM pada bulan Ramadan ini,” ujarnya.

Pada tahun ini, Iftar Perdana ini turut dihadiri oleh wakil-wakil dari tujuh pertubuhan bukan kerajaan yang menerima sumbangan daripada Yayasan USM, iaitu Pertubuhan Kebajikan OKU Penglihatan Prihatin; BOLD Association for Children with Special Needs; Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Al-Taqwa; Batu Grace Children’s Home; Mount Miriam Cancer Hospital; Kasih Specialist Clinic and Hospital; dan National Kidney Foundation.

20190609a

Sememangnya di sepanjang bulan Ramadhan, menjadi tradisi di setiap kampus USM yang mana semua pihak, staf dan pelajar juga rakan-rakan kongsi Universiti berkumpul di Pusat Islam dan secara sukarela menyumbang wang ringgit dan tenaga dalam menyediakan juadah berbuka puasa.

Di kampus induk USM, saban hari, lebih daripada 2,000 warga kampus khususnya pelajar dari pelbagai latar belakang bangsa dan agama termasuk pelajar antarabangsa dari pelbagai negara hadir berbuka bersama-sama dan berkongsi kemeriahan sambutan Ramadan di USM, dalam suasana kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity).

Sehingga kini, lebih 600,000 orang telah mendapat manfaat dari usaha juadah Ramadhan ini sejak program ini mula diperkenalkan secara kecil-kecilan lebih 30 tahun dahulu.

20190609d

Tambah Ustaz Shukri, himpunan pelajar saban hari di bulan Ramadhan yang secara sukarela membantu di dalam menyediakan hidangan dan kemudiannya dinikmati secara bersama, mengajar kita toleransi dan kemahiran untuk hidup bermasyarakat.

“Ini ditambah lagi dengan interaksi bersama pelajar-pelajar antarabangsa yang turut sama datang untuk mencuba dan berbuka puasa bersama telah membolehkan pelajar dan staf kita memahami konteks interaksi merentasi agama dan budaya yang antarabangsa sifatnya.”

20190609f

Dalam pada itu, Majlis Perwakilan Pelajar USM juga telah berusaha melaksanakan inisiatif 'Kongsi Rezeki' dengan mengedarkan juadah kepada pelajar, yang mana juadah diperolehi dari bazar Ramadhan di sekitar kampus.

Ini adalah satu amalan kelestarian yang telah sekian lama menjadi teras kepada USM sebagai sebuah Universiti yang dipimpin oleh kelestarian (Sustainability-led University).

Teks: Tan Ewe Hoe