• BERITA
  • Artikel
  • ALUMNI USM TERPILIH MENERIMA ANUGERAH BERPRESTIJ NEGARA JEPUN

ALUMNI USM TERPILIH MENERIMA ANUGERAH BERPRESTIJ NEGARA JEPUN

20190531

PULAU PINANG, 30 Mei 2019 – Alumni dan mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak telah terpilih untuk menerima Darjah Kebesaran “Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon” dari Maharaja Naruhito di kediaman rasminya di Jepun.

Sumber dari Kedutaan Jepun di Malaysia memaklumkan bahawa Dzulkifli, yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), telah terpilih untuk dianugerahkan Darjah Kebesaran tersebut oleh Kerajaan Jepun pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Anugerah tersebut diberi bagi mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam meningkatkan program pertukaran akademik di antara Jepun dan Malaysia, khususnya sewaktu beliau berkhidmat sebagai Naib Canselor USM dari tahun 2000 hingga 2011.‎

Anugerah ini merupakan salah satu di antara dua anugerah berprestij Musim Bunga 2019 yang dianugerahkan kepada kenamaan asing (Malaysia) yang telah memberi sumbangan besar dalam mengukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara tersebut.

Dzulkifli amat berterima kasih kepada Kerajaan Jepun di atas pemilihan beliau untuk menerima pengiktirafan ini, serta berharap untuk terus meningkatkan pelbagai usaha di bawah Dasar Pandang ke Timur yang telah diperbaharui.