• BERITA
  • Artikel
  • KARNIVAL KEDIAMAN SELAMAT DIPERLUAS KE PERINGKAT KEBANGSAAN

KARNIVAL KEDIAMAN SELAMAT DIPERLUAS KE PERINGKAT KEBANGSAAN

20190407a

PULAU PINANG, 7 April 2019 – Melihat pentingnya kesedaran orang ramai mengenai bahayanya kes keracunan berpunca daripada produk bahan kimia di rumah, program Karnival Kediaman Selamat akan diperluas ke peringkat kebangsaan oleh kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata menjadi tanggungjawab kerajaan untuk berusaha menangani kes keracunan produk bahan kimia di rumah memandangkan statistik kes semakin meningkat dan membimbangkan.

20190407b

"Merujuk kepada statistik kes tersebut yang dikeluarkan oleh Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia (USM), bagi tempoh 1993 hingga tahun lepas, sebanyak 93% kes keracunan direkodkan di negara ini dan lebih 50,000 kes berlaku di rumah akibat keracunan produk bahan kimia," katanya.

Menurut beliau lagi, apa yang lebih merisaukan ialah sebanyak 46% kes keracunan tidak sengaja membabitkan kanak-kanak berumur di antara satu sehingga sembilan tahun dan 54% kes keracunan produk bahan kimia isi rumah membabitkan salah guna produk pencuci dan peluntur akibat kelalaian dan kurang kesedaran penjagaan oleh ibu bapa.

Saifuddin berucap ketika merasmikan program Karnival Kediaman Selamat peringkat negeri Pulau Pinang anjuran bersama Pusat Racun Negara, USM; Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan Pulau Pinang di Masjid Al-Huda, Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini.

20190407c

20190407d

Tambah beliau lagi, melalui kepakaran yang dimiliki oleh USM dalam mengenalpasti segenap aspek keracunan yang berlaku di setiap isi rumah, sudah pasti beliau akan mengetengahkan di peringkat kabinet untuk membawa program ini ke peringkat kebangsaan dalam masa terdekat.

Program Karnival Kediaman Selamat ini bertujuan memperkasakan komuniti tentang keracunan dan keselamatan bahan kimia termasuklah produk ubat-ubatan dan kosmetik di rumah melalui penyampaian maklumat secara santai dan interaktif.

Program ini dengan pelbagai pengisian seperti pemeriksaan kesihatan, permainan interaktif ‘Toxland Adventure’, pertandingan mewarna kanak-kanak, sembang santai dan pameran daripada agensi-agensi kerajaan dan NGO yang berkaitan, telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari komuniti setempat dan seluruh Pulau Pinang.

20190407e

Yang turut hadir adalah Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan Pulau Pinang, Dato' Hj. Abdul Halim Hussain; Pendaftar USM mewakili Naib Canselor USM, Dr. Hj. Musa Ali dan Pengarah Pusat Racun Negara USM, Profesor Dato' Dr. Mohamed Isa Abd Majid.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar